03/06/2026
Penunggang Motosikal Maut Dalam Nahas Dengan Kenderaan Pacuan Empat Roda di Penampang
PENAMPANG, 3 Jun — Seorang lelaki berusia 25 tahun maut selepas motosikal yang ditunggangnya terlibat dalam kemalangan dengan sebuah kenderaan pacuan empat roda di Jalan Papar–Kota Kinabalu berhampiran Kampung Meruntum Putatan, lewat malam Isnin.
Timbalan Ketua Polis Daerah Penampang, Deputi Superintendan Polis (DSP) Erwansyah Abdul Basir, berkata kejadian yang berlaku kira-kira jam 11.10 malam itu dipercayai berpunca apabila motosikal mangsa melanggar bahagian belakang kenderaan berkenaan sebelum tercampak ke lorong paling kanan jalan.
Menurutnya, mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pegawai perubatan dari Hospital Queen Elizabeth, Kota Kinabalu. Mayat mangsa kemudian dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Queen Elizabeth I untuk bedah siasat.
Beliau berkata, pemandu dan seorang penumpang kenderaan pacuan empat roda terbabit tidak mengalami sebarang kecederaan.
Siasatan lanjut turut mendapati kenderaan tersebut ditemui kira-kira 1.5 kilometer dari lokasi kemalangan sebelum dilaporkan terbakar dalam satu kejadian berasingan yang dipercayai melibatkan individu tidak dikenali.
Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. Polis meminta orang ramai yang mempunyai maklumat tampil membantu siasatan serta tidak menyebarkan gambar kejadian bagi menghormati sensitiviti keluarga mangsa.
Tamat