30/07/2026
Eksesais Keris Strike Siri 31/2026 dilaksanakan dengan jayanya di Kota Belud, Sabah pada Julai 13-27 yang lalu. Bawah pimpinan Lima Divisyen Nerang Separang sebagai formasi utama, latihan ini melibatkan 2,010 anggota Tentera Darat Malaysia , 560 anggota US Army Pacific dan 275 anggota Australian Defence Force (ADF) dengan sokongan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).
Mengambil tempat di Lapang Sasar Udara 2 Kota Belud, majlis penutup Eksesais Keris Strike Siri dihadiri oleh Timbalan Panglima Tentera Darat, Leftenan Jeneral Dato' Mohamad Suria bin Mohamad Saad, Panglima Medan Timur Lt Jen Dato' Mohd Sofi bin Md Lepi, Panglima 5 Divisyen Mejar Jeneral Dato’ Shamshor bin Hj Jaafar, chargé d'affaires Kedutaan AS di Malaysia David Gamble, Komander Washington National Guard Brigadier Jeneral Paul Sellars, Pengarah Joint-Staff-Oklahoma National Guard Brig Jen Colby Wyatt, dan Komander 1st (Australian) Division Mej Jen Ashley Collingburn. Selain itu, turut hadir merupakan pasukan pemerhati dari United Kingdom dan Brunei buat kali pertama.
“Keris Strike iaitu eksesais tahunan di bawah Bilateral Training and Consultative Group (BITACG) yang dilaksanakan secara konsisten sejak 1996 menjadi platform utama bagi memperkukuh hubungan pertahanan, meningkatkan interoperabiliti serta membina persefahaman strategik antara Malaysia, Amerika Syarikat dan Australia”, kata TPTD Lt Jen Dato’ Suria dalam ucapannya.
Beliau meneruskan dengan berkata “Keupayaan tempur turut diperkasakan melalui penyelarasan operasi tembakan tepat jarak jauh, operasi gabungan udara dan darat serta integrasi aset ketiga-tiga angkatan. Latihan itu turut menguji tahap kesiapsiagaan, koordinasi dan keupayaan tempur secara menyeluruh dalam persekitaran operasi moden. Pada masa sama, program Subject Matter Expert Exchange (SMEE) terus menjadi platform pertukaran ilmu, teknik, taktik dan prosedur peperangan bagi memperkukuh profesionalisme serta interoperabiliti antara ketiga-tiga angkatan.”
Menurut kenyataan TDM, eksesais inu memperkukuhkan keupayaan operasi bersama melalui latihan yang menguji tahap kesiapsiagaan, koordinasi serta interoperabiliti ketiga-tiga angkatan dalam menghadapi cabaran peperangan moden.
Antara formasi TDM yang terlibat termasuk Batalion Ke-7 Rejimen Askar Melayu Diraja (7 RAMD), Batalion Ke-26 Rejimen Askar Melayu Diraja (26 RAMD), Batalion Ke-22 Rejimen Askar Melayu Diraja (22 RAMD) sebagai Lanunland, Batalion ke-6 Rejimen Artileri Diraja, Rejimen 881 Pasukan Udara Tentera Darat (PUTD), 5 Skuadron Rejimen Askar Jurutera Diraja (5 SKN RAJD), Rejimen 507 dan Rejimen 516 Askar Wataniah sepanjang latihan.
Kontinjen Australia terdiri daripada Rifle Company Butterworth (RCB) yang diwakili anggota 3rd Battalion Royal Australian Regiment (3 RAR), manakala helikopter Eurocopter Tiger milik pasukan 162 Recconnaissance Squadron Australian Army turut hadir.
Dari kontinjen Amerika Syarikat, helikopter-helikopter UH-60 Black Hawk 2nd Combat Aviation Brigade, Task Force Nightcard hadir bersama aset-aset lain seperti M142 HIMARS (High Mobility Artillery Rocket System) dan howitzer 105mm M119 antaranya. Dari segi personel, anggota Guam National Guard dan Oklahoma National Guard merupakan pasukan utama USARPAC dan disokong oleh elemen Joint Pacific Multinational Readiness Center Exportable (JPMRC-X), 54th Security Force Assistance Brigade (SFAB) dan unit lain.
Berteraskan konsep JPMRC-X dan pelbagai siri latihan termasuk STAFFEX, SMEE, CTX, CALFEX (Combined Arms Live Fire Exercise) dan FTX telah dilaksanakan bagi meningkatkan keupayaan operasi gabungan serta memperkukuhkan perkongsian kepakaran dalam aspek taktik, teknik dan prosedur peperangan.
Objektif utama Keris Strike ini menekankan aplikasi Large-Scale Combat Operations (LSCO) yang memerlukan penyelarasan menyeluruh antara pelbagai elemen tempur bagi mencapai objektif.
Di samping itu, Eksesais Keris Strike merupakan manifestasi diplomasi pertahanan Malaysia yang kukuh serta membuktikan komitmen Malaysia dalam memperkukuh kerjasama pertahanan serantau dan antarabangsa. Kejayaan siri Keris Strike ini juga meningkat potensi Malaysia sebagai hub latihan ketenteraan serantau melalui pembangunan Partner Training Center (PTC) pada tahap Initial Operational Capability (IOC).
Sepanjang Keris Strike, pelbagai latihan dilaksanakan oleh ketiga-tiga pasukan termasuk latihan dengan sistem multiple integrated laser engagement system (MILES) yang menggunakan laser yang dipasang pada senjata dan sensor-sensor atas badan dan kepala untuk mengesan “tembakan terkena”, latihan live-fire dengan aset-aset seperti helikopter penyerang Tiger Australia, AV8 Gempita, AV4 Lipanbara, 105mm pack howitzer, senjata ringan di samping senjata bantuan seperti mortar. Dengan helikopter Black Hawk, pasukan TDM melaksanakan latihan ‘air assault’ di sekitar Kota Belud manakala howitzer M119 juga berjaya diangkut melalui cara ‘underslung’.
Penyertaan Tiger Australia ini buat julung kalinya memberikan pengakhiran yang indah buat helikopter tersebut yang bakal ditamatkan perkhidmatan sejak memasuki perkhidmatan Australia sejak 2004. Helikopter Tiger yang berpangkalan di Darwin bakal teruskan penerbangan di Australia sehingga bulan September dan diganti sepenuhnya oleh AH-64E Apache yang telahpun mula memasuki inventori Australia.