22/10/2025
Rampasan wang rasuah sawit 13 trilion rupiah dikembali kepada negara.
Presiden Indonesia, Prabowo Subianto, menegaskan undang-undang akan terus menangani kepentingan perniagaan yang korup selepas kerajaan secara rasmi menerima semula 13.2 trilion rupiah (kira-kira RM4.09 bilion) hasil rampasan daripada kes rasuah eksport minyak sawit mentah (CPO) berprofil tinggi yang melibatkan tiga syarikat gergasi, Wilmar Group, Musim Mas Group dan Permata Hijau Group.
Berucap di Pejabat Peguam Negara (AGO), Jakarta Pusat, pada 20 Oktober, Prabowo menyifatkan kes rasuah berkenaan sebagai bentuk "sabotaj ekonomi" yang menggugat kepentingan negara dan menjejaskan kemajuan nasional.
"Kesalahan mereka bukan kecil. Ini bukan sekadar soal wang, ia soal maruah negara.
"Jika perniagaan tamak fikir boleh menipu negara besar seperti Indonesia, sudah tiba masanya mereka tahu undang-undang lebih kuat daripada mereka," tegas beliau.
Upacara penyerahan wang rampasan disaksikan oleh Prabowo sendiri, bersama Menteri Kewangan, Purbaya Yudhi Sadewa; dan Peguam Negara, Sanitiar Burhanuddin. Daripada jumlah keseluruhan, 2.4 trilion rupiah (kira-kira RM744 juta) dipamerkan dalam bentuk tunai di dewan AGO sebagai lambang ketegasan negara menentang rasuah korporat.
Menurut Sanitiar, jumlah yang dip**angkan masih belum penuh, dengan sekitar 4 trilion rupiah lagi (kira-kira RM1.24 bilion) akan dibayar secara ansuran oleh pihak syarikat.
"Kita beri kelonggaran pembayaran secara berperingkat, tetapi mereka wajib menunaikan tanggungjawab.
"Jika gagal, aset seperti tanah, ladang sawit atau bangunan syarikat boleh disita," katanya.
Dalam mesyuarat Kabinet selepas upacara itu, Prabowo mengarahkan sebahagian dana rampasan tersebut disalurkan kepada Lembaga Pengurusan Dana Pendidikan (LPDP) untuk memperluas peluang biasiswa kepada pelajar tempatan.
"Daripada 13 trilion rupiah yang diterima hari ini, mungkin sebahagiannya boleh digunakan untuk biasiswa masa depan anak-anak kita," ujar Prabowo.
"Wang yang hampir hilang ini sepatutnya boleh membina lebih 8,000 sekolah dan membantu lima juta rakyat.
"Kita akan pastikan hasil rampasan dikembalikan untuk rakyat," tambah Prabowo.
Kes ini berpunca daripada pelanggaran larangan eksport CPO yang dikenakan kerajaan pada 2022 di bawah pentadbiran Presiden Joko Widodo untuk menstabilkan harga minyak masak dalam negeri.
Ketiga-tiga syarikat tersebut didapati mengeluarkan eksport secara haram, menyebabkan kerugian negara dianggarkan mencecah 17 trilion rupiah (kira-kira RM5.27 bilion).
Selepas proses rayuan yang panjang, Mahkamah Agung Indonesia akhirnya mengarahkan syarikat itu membayar semula kerugian negara dengan Wilmar Group membayar 11.8 trilion rupiah (kira-kira RM3.65 bilion); Musim Mas Group 1.8 trilion rupiah (kira-kira RM558 juta); dan Permata Hijau Group 937 bilion rupiah (kira-kira RM290 juta).
"Kita mesti menghantar mesej jelas bahawa tiada sesiapa, walaupun syarikat besar, boleh mengkhianati rakyat," kata Prabowo.
Dengan nada tegas dan langkah nyata, Prabowo sekali lagi menegaskan iltizamnya bahawa "negara tidak akan tunduk kepada kerakusan".
Langkah berani Prabowo itu dipuji oleh pakar antirasuah yang menilai kes berkenaan sebagai antara skandal ekonomi terbesar dalam sejarah Indonesia.
Bagus Pradana daripada Transparensi Antarabangsa Indonesia (TII) menegaskan kejayaan memulihkan aset perlu diikuti reformasi menyeluruh.
"Upacara serah wang ini simbolik, tetapi pembaharuan struktur jauh lebih penting termasuk ketelusan, penguatkuasaan undang-undang yang konsisten dan pembaikan peraturan," katanya.
Zaenur Rohman dari Pusat Kajian Antirasuah Universiti Gadjah Mada (Pukat UGM) p**a menekankan bahawa pemulihan harus meliputi kesan bukan kewangan, termasuk pemulihan alam sekitar akibat kegiatan haram industri sawit.
"Aset yang dirampas hanya dikembalikan sebagai hasil bukan cukai tanpa digunakan untuk membaiki kerosakan alam sekitar.
"Ini mesti diperbetulkan agar keadilan benar-benar dicapai," jelasnya.
Sumber: Agensi berita. | www.tempahweb.com