Ustazah Hajar Official

  • Home
  • Ustazah Hajar Official

Ustazah Hajar Official Pendakwah - Motivator - Tutor Bertauliah - Mutawwif Rayhar Travels

06/06/2026

𝐃𝐀𝐋𝐈𝐋 𝐈𝐒𝐓𝐈𝐆𝐇𝐀𝐓𝐇𝐀𝐇: 𝐔𝐋𝐀𝐒𝐀𝐍 𝐃𝐀𝐍 𝐒𝐘𝐀𝐑𝐀𝐇𝐀𝐍 𝐌𝐔𝐇𝐀𝐃𝐃𝐈𝐓𝐇𝐈𝐍 𝐓𝐄𝐑𝐇𝐀𝐃𝐀𝐏 𝐇𝐀𝐃𝐈𝐓𝐇-𝐇𝐀𝐃𝐈𝐓𝐇 𝐌𝐄𝐍𝐆𝐄𝐍𝐀𝐈𝐍𝐘𝐀

Istighathah merupakan salah satu bentuk ikhtiar yang diajarkan oleh Rasulullah SAW kepada umatnya untuk memperoleh pertolongan Allah SWT melalui perantaraan makhluk yang dijadikan-Nya sebagai asbab. Ikhtiar tersebut mempunyai sandaran daripada al-Quran, al-Sunnah serta amalan para salaf dan khalaf.

Artikel ini bertujuan menghimpunkan dan meneliti syarahan para muhaddithin (ulama hadith) terhadap dalil-dalil yang dijadikan sandaran dalam perbahasan istighathah

Sejak zaman para sahabat, istighathah telah diamalkan dalam situasi-situasi tertentu sebagai usaha mendapatkan pertolongan Allah SWT melalui perantaraan asbab yang diizinkan Ilahi.

Kisah mengenainya telah direkodkan oleh Imam Ibn Abi Shaybah dalam al-Musannaf, al-Hafiz al-Bayhaqi dalam Shu'ab al-Iman dan Al-Hafiz Ibn Hajar al-'Asqalani dalam Fath al-Bari dengan sanad sahih, iaitu:

"Pernah kemarau melanda Muslimin pada zaman Khalifah Umar bin al-Khattab RA. Maka, seorang sahabat bernama Sayyidina Bilal bin al-Harith RA mendatangi makam Rasulullah SAW dan berkata: "Wahai Rasulullah, mohonkanlah hujan kepada Allah untuk umatmu kerana mereka benar-benar telah binasa." Kemudian beliau bermimpi bertemu Rasulullah SAW dan Baginda berkata: "Pergi temui Umar dan sampaikanlah salamku kepadanya. Beritakanlah kepadanya bahawa hujan akan turun untuk mereka dan katakanlah kepadanya: 'Hendaklah engkau bertindak bijaksana'. Kemudian dia datang kepada Umar dan memberitahu kisahnya. Lalu Umar menangis dan berkata: 'Ya Allah, aku tidak akan simpan daya upayaku kecuali apa yang aku tidak mampu'."

Praktik sahabat Nabi diatas adalah manifestasi kepada ayat al-Qur'an yang berikut:

وَلَوْ اَنَّهُمْ اِذْ ظَّلَمُوْۤا اَنْفُسَهُمْ جَآءُوْكَ فَا سْتَغْفَرُوا اللّٰهَ وَا سْتَغْفَرَ لَـهُمُ الرَّسُوْلُ لَوَجَدُوا اللّٰهَ تَوَّا بًا رَّحِيْمًا

Maksud:" Dan kalaulah mereka ketika menzalimi diri mereka sendiri datang kepadamu (wahai Muhammad) lalu memohon ampun kepada Allah, dan Rasulullah juga memohon ampun untuk mereka, tentulah mereka mendapati Allah Maha Penerima taubat, lagi Maha Mengasihani." (Al-Nisa':64)

Al-Hafiz Ibn Hajar al-Haytami dalam al-Jawhar al-Munazzam dan Shaykh AbduLlah al-Ghumari dalam Ithaf al-Azkiya' menyatakan bahawa ayat di atas adalah dalil bahawa seseorang diperbolehkan untuk membuat permohonan kepada Rasulullah SAW sama ada ketika Baginda masih hidup mahu setelah kewafatannya. Al-Hafiz al-Haytami menyatakan bahawa Al-Hafiz Taqiy al-Din al-Subki telah membincangkan bab ini dengan baik sekali.

Al-Hafiz Taqiy al-Din al-Subki dalam Shifa' al-Siqam menyatakan bahawa hadith sahih mengenai kisah sahabat Nabi bernama Sayyidina Bilal bin Harith memohon daripada Rasulullah SAW di maqam Baginda adalah dalil bahawa istighathah kepada Baginda setelah kewafatannya dibenarkan dalam syariat Islam.

Beliau menjelaskan bahawa istighathah adalah salah satu bentuk tawassul dan termasuk dalam pengertian usaha serta ikhtiar melalui asbab (الكسب). Pertolongan yang diminta daripada para nabi, wali atau hamba-hamba Allah yang soleh hanyalah dalam kapasiti mereka sebagai wasilah yang dimuliakan Allah, bukan sebagai penolong yang hakiki. Justeru, sama ada kepada yang hidup atau yang telah meninggal dunia, hakikat Pemberi Pertolongan tetap Allah SWT semata-mata.

Istighathah juga dibenarkan kepada selain Rasulullah SAW, iaitu kepada hamba-hamba Allah yang soleh yang diberikan keizinan oleh-Nya untuk menjadi wasilah dan asbab pertolongan.

Imam Ibn Hajar al-'Asqalani dalam Fath al-Bari mengemukakan riwayat tafsir yang diketengahkan oleh Imam Ibn Abi Hatim dan Imam Ibn Jarir al-Tabari dalam kitab tafsir mereka bahawa:

وأرادوا إحراقه قالت السماء والأرض والجبال والملائكة : ربنا خليلك إبراهيم يحرق ؟ قال : أنا أعلم به ، وإن دعاكم فأغيثوه

Maksud : "Ketika Nabi Ibrahim hendak dibakar (oleh tentera Namrud), maka langit, bumi, gunung dan para malaikat berkata: 'Wahai Tuhan kami, teman karibMu Ibrahim sedang hendak dibakar'. Allah menjawab: 'Aku lebih mengetahuinya, sekiranya dia menyeru minta pertolongan kepada kamu, maka hendaklah kamu menolongnya'".

Riwayat di atas menunjukkan bahawa para ulama tafsir dan hadith tidak memahami permohonan pertolongan kepada makhluk secara mutlak sebagai suatu bentuk kesyirikan, justeru jika Nabi Ibrahim memohon pertolongan dari mereka, ia tetap tidak bertentangan dengan Tawhid, kerana hakikat pertolongan tetap dinisbahkan kepada Allah SWT, manakala makhluk hanyalah asbab dan wasilah yang diciptakan-Nya.

Imam al-Shawkani dalam Fath al-Qadir menyatakan bahawa malaikat Jibril diutus untuk berkata kepada api:
يا نار كوني بردا وسلاما على ابراهيم

Maksud: "Wahai api, jadilah kamu dingin dan sejahtera buat Ibrahim".

Imam Ibn Sa'd dalam al-Tabaqat al-Kubra, al-Hafiz Ibn Asakir dam Tarikh Dimashq, al-Hafiz al-Zahabi dalam Siyar A'lam al-Nubala', Imam Ibn Jawzi dalam Sifat al-Safwah dan Imam al-Suyuti dalam al-Khasa'is al-Kubra telah mengemukakan riwayat sirah bahawa ketika Sayyidina Ammar bin Yasir sedang dibakar hidup-hidup di dalam api oleh kafir Quraish Mekah, Rasulullah SAW berkata:

يا نار كوني بردا وسلاما على عمّار كما كنتِ على إبراهيم
Maksud: "Wahai api, jadilah kamu dingin dan sejahtera buat Ammar sebagaimana engkau pernah begitu buat Nabi Ibrahim".

Dalam riwayat di atas, Rasulullah SAW tidak berdoa dengan lafaz yang secara langsung ditujukan kepada Allah SWT, bahkan Baginda berkata: 'Wahai api, jadilah engkau dingin dan sejahtera buat Ammar sebagaimana engkau pernah menjadi dingin dan sejahtera buat Ibrahim.'

Perkara ini menunjukkan bahawa seruan atau khitab kepada makhluk tidak semestinya difahami sebagai syirik atau penyembahan terhadap makhluk tersebut. Bahkan, sebagaimana yang dijelaskan oleh para ulama, ia tetap berada dalam ruang lingkup doa dan masih dalam kerangka pergantungan kepada Allah SWT sebagai Pencipta segala sebab (Musabbib al-asbab).

Shah 'Abd al-Haq al-Dihlawi dalam Lama' at al-Tanqih fi Mishkat al-Masabih menyatakan bahawa perkataan Rasulu’Llāh SAW "wahai api" diatas adalah masih dalam pengertian doa kepada Allah, bukan berdoa kepada api.

Antara hadith yang utama dalam bab ini adalah yang direkodkan oleh al-Hafiz al-Bazzar sebagai berikut :

فَإِذَا أَصَابَ أَحَدَكُمْ عَرْجَةٌ بِأَرْضٍ فَلاةٍ فَلْيُنَادِ: أَعِينُوا عِبَادَ اللهِ

“Jika kalian ditimpa kesukaran dalam perjalanan (tersesat jalan) di suatu kawasan sunyi yang terpencil, maka hendaklah mengatakan: Tolonglah aku, wahai para hamba Allah."
(Rujukan: Kasf al-Astar 'an Zawa'id al-Bazzar, 4/33)

- al-Hafiz al-Haythami dalam Majma' al-Zawa'id menyatakan bahawa seluruh perawi dalam hadith ini adalah thiqah/terpercaya.

- al-Hafiz Ibn Hajar al-Asqalani dalam Nata'ij al-Afkar menyatakan status hadith ini ialah hasan gharib jiddan

- al-Hafiz al-Sakhawi dalam al-Ibtihaj bi Adhkar Musafir al-Haj menilai hadith di atas sebagai hasan

Imam al-Tabrani dalam al-Mu’jam al-Kabir mengemukakan riwayat di bawah ini dan ketika mengulas hadith ini, beliau berkata: "Amalan ini telah diuji dan terbukti mujarrab keberhasilannya.", hadithnya ialah:
:
إذا انفلتت دابة أحدكم بأرض فلاة، فليناد : يا عباد الله احبسوا؛ فإن لله في الارض حاضراً سَيَحْبِسُه

Maksud: "Apabila haiwan tunggangan milik salah seorang daripada kamu terlepas di suatu kawasan lapang yang tidak berpenghuni, maka hendaklah dia menyeru: ‘Wahai hamba-hamba Allah, tahankanlah ia!. Kerana sesungguhnya Allah mempunyai hamba-hamba yang hadir di bumi yang akan menahannya untukmu.”

Mulla Ali al-Qari dalam al-Hirz al-Thamin menyatakan hadith di atas dalil diperbolehkan istighathah. Beliau menyatakan bahawa ulama hadith yang thiqah telah menegaskan status hadith istighathah secara keseluruhannya adalah hasan maka para musafir hendaklah mempelajari dan mempraktikkan amalan mujarrab ini ketika keadaan memerlukan.

Imam Ibn al-Qayyim dalam kitabnya al-Wabil al-Sayyib telah buat fasal khusus mengenai bacaan yang perlu diketahui oleh muslim untuk diucapkan ketika dalam suasana genting dan hajat yang terdesak. Antara bacaan yang dikemukakan ialah hadith yang sama dikemukakan oleh Imam al-Tabrani di atas.

Hadith di atas turut dimasukkan oleh Imam Ibn Taymiyyah dalam kitabnya berjudul al-Kalim al-Tayyib yang mana tujuan kitab tersebut ditulis agar masyarakat dapat beramal dengannya.

Imam al-Nawawi dalam al-Adhkar setelah mengemukakan hadith yang sama di atas, beliau sendiri secara pengalaman peribadi menyatakan pernah beramal dengan hadith tersebut dan ia mujarrab dengan izin Allah.

Imam Ibn 'Allan dalam Sharh al-Adhkar menyebutkan bahawa disebabkan hadith-hadith dalam bab ini mempunyai sokongan (shawahid) dari berbagai jalur yang masing-masing saling menguatkan untuk ia berada pada status hadith hasan dan para ulama hadith menasihatkan ilmu yang terkandung dalam hadith-hadith di atas adalah pengetahuan yang penting untuk para musafir.

Hadith lain yang kukuh sanadnya dalam bab ini adalah hadith mawquf dari Sayyidina Ibn Abbas sebagai berikut:

فإذا أصاب أحدكم عَرْجة في الأرض لا يقدر فيها على الأعوان فَلْيَصِحْ ، فَلْيَقُلْ : عباد الله أغيثونا، أو أعينونا رحمكم الله ! ، فإنه سيعان

"Apabila salah seorang daripada kamu ditimpa kesusahan atau tersesat di suatu tempat yang tidak terdapat sesiapa yang dapat membantunya, maka hendaklah dia menyeru dengan suara yang kuat lalu berkata: 'Wahai hamba-hamba Allah, tolonglah kami!' atau 'Wahai hamba-hamba Allah, bantulah kami! Semoga Allah merahmati kamu.' Nescaya sesungguhnya dia akan diberikan pertolongan."

- hadith hasan riwayat Imam al-Bayhaqi dalam Shu'ab al-Iman, seluruh perawi dalam sanad ini adalah terpercaya. Pentahqiq al-Wabil al-Sayyib li Ibn al-Qayyim bernama Dr.' Abd al-Rahman bin Hasan bin Qa' id menyatakan bahawa meskipun ini adalah hadith mawquf, namun ia dinilai sebagai marfu' kerana diangkat oleh hadith al-Bazzar.

Shaykh al-Albani dalam Silsilah al-Da'ifah menilai hadith di atas sebagai hasan kerana praktik Imam Ahmad bin Hanbal telah menambahkan kekuatan sanadnya. Shaykh al-Albani mengehadkan makna "hamba Allah" yang diseru untuk dimohon pertolongan dalam hadith di atas ahanya merujuk kepada para malaikat.

Namun, pendapat beliau tersebut bukanlah satu-satunya pandangan dalam kalangan ulama hadis. Bahkan, ramai muhaddithin yang muktabar mentafsirkan lafaz tersebut dalam makna yang lebih luas, merangkumi para malaikat, jin yang soleh serta roh dari kalangan hamba-hamba Allah yang soleh yang lain. Perbahasan dan sandaran bagi pandangan ini akan dijelaskan dalam subtopik berikutnya.

Imam al-Shawkānī dalam Tuḥfat al-Dhākirīn bi ʿUddat al-Ḥiṣn al-Ḥaṣīn min Kalām Sayyid al-Mursalīn setelah menukilkan hadith di atas beliau berkata:

"Pada hadith ini terdapat dalil tentang keharusan meminta pertolongan (istiʿānah) daripada hamba-hamba Allah yang tidak dapat dilihat oleh manusia, seperti para malaikat dan jin yang soleh. Tidak ada sebarang masalah pada perkara tersebut, sebagaimana harus bagi seseorang meminta pertolongan daripada manusia apabila haiwan tunggangannya terjatuh atau terlepas lari."

Shaykh AbduLlah al-Ghumari dalam Ithaf al-Azkiya' setelah mengemukakan hadith Sayyidina Ibn Abbas di atas, beliau menyatakan bahawa hadith ini adalah dalil bahawa diperbolehkan dalam syariat untuk istighathah kepada hamba-hamba Allah yang masih hidup atau yang sudah meninggal.

Imam al-Bayhaqi dalam Shu'ab al-Iman meriwayatkan bahawa Imam Ahmad bin Hanbal pernah berkata:

حججت خمس حجج اثنتين راكب و ثلاث ماشي أو ثلاث راكب و اثنتين ماشي فضللت الطريق في حجة و كنت ماشيا فجعلت أقول يا عباد الله دلوني على الطريق قال : فلم أزل ذلك حتى وقفت على الطريق

"Aku telah menunaikan haji sebanyak lima kali; dua kali dengan berkenderaan dan tiga kali berjalan kaki, atau tiga kali berkenderaan dan dua kali berjalan kaki. Pada salah satu ibadah hajiku, ketika aku sedang berjalan kaki, aku telah tersesat jalan. Lalu aku mula berkata: 'Wahai hamba-hamba Allah, tunjukkanlah aku jalan.' Maka aku terus mengucapkan demikian sehingga akhirnya aku menemui jalan yang benar."

Kisah di atas turut di nukilkan oleh Imam al-Bayhaqi dalam al-Adab (ms.269) lalu beliau berkata, “Hadith ini menjadi pengamalan ahli ilmu yang saleh kerana wujudnya kebenaran padanya disisi mereka berdasarkan pengalaman mereka yang mujarrab terhadapnya”.

𝗠𝗔𝗞𝗡𝗔 "𝗛𝗔𝗠𝗕𝗔 𝗔𝗟𝗟𝗔𝗛" 𝗗𝗜 𝗗𝗔𝗟𝗔𝗠 𝗛𝗔𝗗𝗜𝗧𝗛 𝗜𝗦𝗧𝗜𝗚𝗛𝗔𝗧𝗛𝗔𝗛

Para ulama hadith bersetuju bahawa "hamba Allah" yang dimaksudkan dalam hadith istighathah di atas adalah para makhluk Allah yang berada pada dimensi lain yang tidak kelihatan dengan mata kasar. Namun ulama hadith berbeza pandangan dalam menghuraikannya.

Dalam bab ini, terdapat hadith yang menyebut secara khusus bahawa "hamba Allah" tersebut adalah malaikat (ان لله ملٰئكة في الارض) dan ada hadith lain yang menyebut secara umum iaitu hamba Allah yang wujud secara hadir tapi tidak kelihatan dengan mata kasar (فان لله عبادا لا نراهم)(ان لله في الارض حاضرًا).

Imam al-Shawkani dalam Tuḥfat al-Dhākirīn menyebutkan bahawa "hamba Allah" yang diseru tersebut adalah para malaikat dan jin yang soleh.

Para ulama hadith seperti:
1. Imam al-Munawi dalam Fayd al-Qadir,
2. Imam Ibn 'Allan dalam Sharh al-Adhkar dan
3. Mulla Ali al-Qari dalam al-Hirz al-Thamin li Hisn al-Hasin

Kesemua nama muhaddithin di atas mempunyai pandangan yang sama dalam menjelaskan maksud “hamba-hamba Allah” dalam hadith istighathah iaitu malaikat, jin yang soleh dan roh manusia atau para wali Allah di alam ghaib.

Shah Waliyullah al-Dihlawi dalam al-Qawl al-Jamil fi Bayan Sawa' al-Sabil menyatakan bahawa seorang muslim dibenarkan untuk istighathah kepada roh orang saleh ketika menziarahi kubur mereka dengan niat dan harapan agar Allah melimpahkan cahaya kerohanian ke dalam hatinya.

Shaykh AbduLlah al-Ghumari dalam Ithaf al-Azkiya' menyebutkan bahawa hadith diatas adalah sandaran dalil oleh ulama rohani berkenaan roh manusia yang ghaib dari penglihatan manusia diberi keizinan oleh Allah untuk membantu orang yang masih hidup.

𝗞𝗘𝗦𝗜𝗠𝗣𝗨𝗟𝗔𝗡

Perbincangan yang dibentangkan di atas menunjukkan bahawa istighathah adalah sebuah usaha ikhtiar yang berstatus maqbul dalam syariat Islam kerana para ulama umat ini tidak akan berpakat dalam perkara yang sesat.

Himpunan nas al-Quran, al-sunnah, athar sahabat, amalan salaf, serta syarahan para muhaddithin dan fuqaha yang dikemukakan menunjukkan bahawa istighathah merupakan suatu bentuk ikhtiar yang diiktiraf dalam syariat Islam apabila difahami menurut kerangka akidah Ahl al-Sunnah wa al-Jama‘ah. Hakikat pertolongan tetap dinisbahkan kepada Allah SWT sebagai al-Mughīth dan al-Musta‘ān yang sebenar, manakala makhluk hanyalah wasilah dan asbab yang dijadikan Allah untuk menyampaikan bantuan-Nya kepada hamba-hamba-Nya.

Dalil-dalil yang dibentangkan juga menunjukkan bahawa para ulama hadith tidak memahami lafaz-lafaz permohonan bantuan kepada makhluk sebagai syirik secara mutlak. Bahkan mereka mensyarahkan hmalth-hadith tersebut dalam konteks isti‘ānah dan istighathah yang dibenarkan syarak, sama ada kepada makhluk yang hadir, yang ghaib daripada pandangan manusia seperti malaikat dan jin yang soleh, mahupun kepada para nabi dan orang-orang soleh yang dimuliakan Allah, dengan keyakinan bahawa segala kesan dan manfaat tetap berlaku dengan izin-Nya semata-mata.

Lebih daripada itu, kewujudan riwayat-riwayat sahih mengenai amalan para sahabat, tabi‘in, imam-imam mujtahid serta pengakuan ramai muhaddithin bahawa amalan ini bersifat mujarrab menunjukkan bahawa isu istighathah bukanlah suatu amalan asing yang muncul kemudian dalam sejarah Islam, bahkan mempunyai akar yang jelas dalam tradisi keilmuan dan amalan umat. Oleh itu, menuduh setiap bentuk istighathah sebagai syirik tanpa perincian dan penelitian terhadap kefahaman para ulama muktabar adalah suatu pendekatan yang tidak selari dengan manhaj ilmiah yang diwariskan oleh para salaf dan khalaf.

Sebaliknya, neraca yang adil ialah membezakan antara istighathah yang berasaskan tauhid iaitu meyakini Allah sebagai satu-satunya pemberi manfaat dan mudarat dengan bentuk-bentuk pegangan yang benar-benar bercanggah dengan prinsip tauhid.

Semoga bermanfaat!

iqbal Zain al-jauhari

Assalamualaikum…Dengan penuh rasa syukur, kami kongsikan Jadual Kuliah Pengajian Ustazah Siti Hajar bagi Bulan Jun 2026....
05/06/2026

Assalamualaikum…
Dengan penuh rasa syukur, kami kongsikan Jadual Kuliah Pengajian Ustazah Siti Hajar bagi Bulan Jun 2026.

Moga setiap langkah kita dalam menuntut ilmu ini dipermudahkan oleh Allah SWT, dikurniakan hati yang sentiasa hidup dan tenang dalam mengingati-Nya, serta diberi kekuatan untuk terus istiqamah di jalan ilmu dan amal.

Semoga setiap majlis yang kita hadiri menjadi asbab turunnya rahmat, keberkatan, dan membuka jalan menuju redha Allah SWT, serta dihimpunkan kita dalam kalangan hamba-hamba-Nya yang dekat di sisi-Nya 🤲🏻 Amin Ya Rabbal ‘Alamin 🤍

JAWANEE KREW

MEMAHAMI HUBUNGAN ORANG HIDUP DAN ROH ORANG YANG SUDAH MENINGGAL: SUATU PENJELASANSejak kebelakangan ini, timbul beberap...
05/06/2026

MEMAHAMI HUBUNGAN ORANG HIDUP DAN ROH ORANG YANG SUDAH MENINGGAL: SUATU PENJELASAN

Sejak kebelakangan ini, timbul beberapa persoalan berkaitan hubungan antara orang yang masih hidup dengan roh mereka yang telah meninggal dunia. Antara persoalan yang sering dibangkitkan ialah:

1. Adakah hubungan antara orang yang hidup dan orang yang telah meninggal dunia terputus sepenuhnya?
2. Adakah roh orang yang telah meninggal masih mempunyai sebarang bentuk kesan atau campur tangan terhadap urusan orang yang hidup?
3. Adakah dibenarkan meminta pertolongan daripada orang-orang soleh yang telah meninggal dunia?

Artikel ini bertujuan menjelaskan isu tersebut berdasarkan al-Quran, al-Sunnah serta pandangan para ulama Ahl al-Sunnah wa al-Jama‘ah.

Roh sebagai Tentera Allah

Antara sifat roh yang dikhabarkan oleh Rasulullah SAW ialah bahawa roh merupakan sebahagian daripada tentera Allah. Baginda SAW bersabda:

الأرواح جنود مجندة

“Roh-roh itu adalah tentera yang dihimpunkan.”
(Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Allah SWT berfirman:

وَلِلَّهِ جُنُودُ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضِ

“Dan milik Allah segala tentera langit dan bumi.”
(al-Fath: 7)

Ketika menafsirkan ayat ini, Imam al-Baydawi menjelaskan bahawa tentera-tentera Allah ditugaskan mentadbir pelbagai urusan makhluk dengan izin-Nya, sehingga sebahagian daripadanya menjadi sebab kepada pengurusan urusan yang lain.

Roh Selepas Kematian dan Hubungannya Dengan Alam

Imam Fakhr al-Din al-Razi ketika membahaskan ayat:

فَالْمُدَبِّرَاتِ أَمْرًا

“Demi para pentadbir urusan.”
(al-Nazi‘at: 5)

menjelaskan bahawa roh manusia setelah berpisah daripada jasad mempunyai hubungan yang lebih hampir dengan alam malakut dan alam malaikat. Oleh sebab itu, sebahagian mufassirin seperti Imam al-Razi, Imam al-Baydawi, Imam Ibn ‘Ajibah dan Imam Isma‘il Haqqi dalam kitab tafsir mereka menyebut bahawa antara yang termasuk dalam maksud “para pentadbir urusan” ialah roh-roh para hamba Allah yang soleh yang diberi keizinan untuk melaksanakan tugas tertentu menurut kehendak Allah.

Ini tidak bermaksud mereka memiliki kuasa secara berdikari, bahkan mereka hanyalah sebab dan wasilah yang Allah ciptakan dalam sistem pentadbiran alam-Nya.

Imam Abd al-Ghani al-Nabulsi dalam Kashf al-Nur ‘An Ashab al-Qubur menyatakan bahawa dalil yang menjadi sandaran bahawa keramat para Wali dapat berlaku didunia dan dari alam barzakh ialah hadith Qudsi yang sahih, Allah Tabaraka wa Ta’ala berfirman:

“Apabila Aku mencintainya, maka Aku menjadi Pendengarannya yang dengannya dia mendengar, dan Aku menjadi Penglihatannya yang dengannya dia melihat, dan Aku menjadi Tangannya yang dengannya dia memegang…”.

Kekuatan Roh Setelah Berpisah Daripada Jasad

Imam Ibn al-Qayyim dalam kitab al-Ruh menjelaskan bahawa roh yang telah berpisah daripada jasad memperoleh keadaan yang berbeza daripada ketika berada di dunia. Roh yang soleh menjadi lebih bebas daripada keterbatasan jasad sehingga Allah mengurniakan kepadanya bentuk kekuatan dan kemampuan yang tidak dimiliki ketika hidup di dunia.

Beliau turut menyebut bahawa terdapat roh-roh orang soleh yang membantu orang hidup dengan izin Allah, bahkan memberi kesan dalam keadaan tertentu seperti peperangan dan urusan lain yang dikehendaki oleh Allah SWT.

Imam Bakhit al-Muti`i al-Hanafi (w.1349H/1930M) yang merupakan M***i Besar Mesir dan merangkap Shaykh al-Azhar, beliau telah mengarang kitab khusus yang membincangkan kebenaran fakta mengenai campur tangan roh orang yang meninggal dunia terhadap orang yang masih hidup yang berjudul Nafahat al-Qurb wa al-Ittisal bi Ithbat al-Tasarruf li Awliya’iLlah Ta’ala Ba’da al-Intiqal, di dalamnya beliau berkata:

ومن ذلك تعلم أن ما ظهر من التصرفات على يد الأولياء لا يخالف صريح القرآن، لأن هذا التصرف الذي ينسب للأولياء هو نوع من الكرامات وهو فعل الله وخلقه ، يظهره الله إكراما لهم، تارة بإلهام وتارة بمنام وتارة بدعائهم وتارة بفعلهم واختيارهم وتارة بغير اختيار ولا قصد ولا شعور منهم، بل قد يحصل من الصبي المميز، وتارة بالتوسل إلى الله تعالى بهم في حياتهم وبعد مماتهم مما هو محكي في القدرة الإلهية

“Dan berdasarkan dalil-dalil yang telah dibentangkan, anda sudah dapat ketahui bahawa pengendalian yang muncul di tangan para Wali tidak bertentangan dengan kejelasan al-Quran, kerana pengendalian yang dinisbahkan kepada para Wali ini adalah termasuk dalam skop keramat, dan pada hakikatnya ia adalah Perbuatan Allah dan Ciptaan-Nya, Allah menzahirkan hal tersebut untuk memuliakan mereka, kadangkala memalui ilham, kadangkala melalui mimpi, kadangkala dengan doa mereka, dan kadang-kadang dengan tindakan dan pilihan mereka, dan kadang-kadang tanpa pilihan atau niat atau tanpa menyedarinya. Bahkan ia mungkin terjadi dari budak yang mumayyiz, dan kadangkala dengan memohon kepada Allah Yang Maha Kuasa melalui perantaraan mereka baik ketika mereka masih hidup mahupun selepas kematian mereka daripada Qudrah Ilahiyyah”.
Hubungan Antara Orang Hidup dan Orang Yang Telah Meninggal".

Dengan kata lain, Imam Bakhit al-Muti‘i p**a menjelaskan bahawa segala bentuk tasarruf yang dinisbahkan kepada para wali pada hakikatnya adalah ciptaan dan perbuatan Allah semata-mata. Allah menzahirkannya sebagai kemuliaan kepada para wali-Nya melalui pelbagai cara seperti doa, ilham, mimpi dan sebab-sebab lain yang dikehendaki-Nya.

Imam Fakhr al-Din al-Razi dalam al-Matalib al-‘Aliyyah menjelaskan bahawa memahami isu ini memerlukan pengiktirafan terhadap tiga prinsip asas:

1. Roh manusia terus hidup selepas kematian jasad.
2. Roh di alam barzakh mempunyai kesan yang lebih kuat berbanding ketika berada dalam jasad.
3. Roh masih mempunyai bentuk hubungan tertentu dengan jasadnya dan alam dunia.

Berdasarkan prinsip-prinsip ini, beliau menjelaskan bahawa apabila seseorang menziarahi kubur orang soleh, boleh berlaku pertemuan dan hubungan kerohanian antara roh penziarah dengan roh yang diziarahi. Hubungan tersebut menjadi sebab berlakunya limpahan manfaat rohani kepada kedua-dua pihak dengan izin Allah SWT.

Pandangan Ulama Aqidah Mengenai Bantuan Roh Orang Soleh

Imam al-Taftazani dalam Sharh al-Maqasid menjelaskan bahawa roh-roh para solehin masih mengetahui sebahagian keadaan orang hidup menurut kadar yang diizinkan Allah. Beliau turut menyatakan bahawa roh-roh tersebut boleh membantu orang yang hidup melalui bentuk bantuan yang diizinkan oleh Allah SWT.

Menurut beliau, dakwaan bahawa hubungan roh dengan alam dunia terputus sepenuhnya merupakan pengaruh sebahagian ahli falsafah Yunani, bukan pendirian yang masyhur dalam kalangan ulama Islam.

Dalil Hadith Mengenai Meminta Pertolongan Daripada Hamba-Hamba Allah Yang Ghaib

Rasulullah SAW bersabda:

فإذا أصاب أحدكم عرجة بأرض فلاة فليناد أعينوا عباد الله

“Jika salah seorang daripada kamu ditimpa kesulitan di kawasan yang sunyi, maka hendaklah dia menyeru: ‘Wahai hamba-hamba Allah, bantulah aku." (hadith dinilai hasan oleh Imam Ibnu Hajar al-Asqalani)

Dalam hadith lain:

إِذَا انْفَلَتَتْ دَابَّةُ أَحَدِكُمْ بِأَرْضِ فَلَاةٍ فَلْيُنَادِ: يَا عِبَادَ اللهِ احْبِسُوا عَلَيَّ، يَا عِبَادَ اللهِ احْبِسُوا عَلَيَّ؛ فَإِنَّ للهِ فِي الْأَرْضِ حَاضِرًا سَيَحْبِسُهُ عَلَيْكُمْ

“Apabila haiwan tunggangan milik salah seorang daripada kamu terlepas di suatu kawasan lapang yang tidak berpenghuni, maka hendaklah dia menyeru:

‘Wahai hamba-hamba Allah, tahanlah ia untukku! Wahai hamba-hamba Allah, tahanlah ia untukku!’

Sesungguhnya Allah mempunyai hamba-hamba yang hadir yang akan menahannya untukmu.”

• Imam al-Sakhawi dalam kitabnya al-Ibtihaj bi Adhkar Musafir al-Haj menilai hadith di atas berstatus hasan.

Para ulama seperti Imam al-Munawi dalam Fayd al-Qadir, Imam Ibn 'Allan dalam Sharh al-Adhkar dan Mulla Ali al-Qari dalam al-Hirz al-Thamin li Hisn al-Hasin mempunyai pandangan yang sama dalam menjelaskan maksud “hamba-hamba Allah” dalam hadis-hadis di atas boleh merangkumi malaikat, jin yang soleh dan roh manusia atau para wali Allah di alam ghaib.

Shaykh AbduLlah al-Ghumari dalam Ithaf al-Azkiya' menyebutkan bahawa hadith diatas adalah sandaran dalil oleh Ulama berkenaan roh manusia yang ghaib dari penglihatan manusia diberi keizinan oleh Allah untuk membantu orang yang masih hidup.

Keramat Para Wali Selepas Kewafatan

Ahl al-Sunnah wa al-Jama‘ah bersepakat bahawa:

كرامة الأولياء حق

“Keramat para wali adalah benar.”

Ramai ulama menegaskan bahawa keramat para wali tidak terhenti dengan kematian mereka.

Shaykh Muhammad Zahid al-Kawthari menukilkan daripada Imam al-Haramayn bahawa tidak ada sebab untuk menafikan keramat para wali selepas kewafatan mereka, bahkan para wali yang telah bebas daripada keterbatasan dunia lebih hampir kepada alam rohani berbanding ketika mereka masih hidup.

Imam al-Ramlī rahimahullah, pengarang Nihāyah al-Muḥtāj, ketika ditanya mengenai hukum ucapan istighāthah seperti “Ya RasulAllah”, “Ya Syaikh Fulan” dan seumpamanya kepada para nabi, wali dan orang soleh ketika ditimpa kesusahan, menjawab bahawa istighāthah kepada para nabi, rasul, wali, ulama dan orang soleh adalah harus. Beliau juga menegaskan bahawa mereka boleh menjadi sebab pertolongan Allah walaupun selepas wafat, kerana mukjizat para nabi dan karamah para wali tidak terputus dengan kematian mereka. Manfaat mereka kepada orang hidup tidak terhenti walau setelah kematian dengan izin Allah. Para nabi hidup di alam barzakh sebagaimana disebut dalam hadis-hadis, manakala karamah para wali adalah suatu hakikat yang diiktiraf oleh Ahl al-Sunnah. Oleh itu, berlakunya pertolongan melalui mereka termasuk dalam perkara yang mungkin dan tidak mustahil menurut syarak dan akal.

Pernah kemarau melanda Muslimin pada zaman Khalifah Umar bin al-Khattab RA. Maka, seorang sahabat (Bilal bin al-Harith RA) mendatangi makam Rasulullah SAW dan berkata: "Wahai Rasulullah, mohonkanlah hujan kepada Allah untuk umatmu kerana mereka benar-benar telah binasa." Kemudian beliau bermimpi bertemu Rasulullah SAW dan Baginda berkata: "Pergi temui Umar dan sampaikanlah salamku kepadanya. Beritakanlah kepadanya bahawa hujan akan turun untuk mereka dan katakanlah kepadanya: 'Hendaklah engkau bertindak bijaksana'. Kemudian dia datang kepada Umar dan memberitahu kisahnya. Lalu Umar menangis dan berkata: 'Ya Allah, aku tidak akan simpan daya upayaku kecuali apa yang aku tidak mampu”. (Riwayat Ibnu Abi Shaybah dan Imam Ibnu Hajar al-Asqalani dalam Fath al-Bari (Bab al-Istisqa') dengan sanad hasan.

Imam Ibnu Hajar al-Asqalani dalam Fath al-Bari (hadith no.33 & 6283) menyatakan bahawa sesebuah perkara itu tidak menjadi khusus hanya untuk Rasulullah SAW tanpa ada dalil yang jelas mengkhususkannya (al-khuṣuṣiyah la tathbutu illa bi dalil).

Shaykh Shuyūkh al-Qurrā’ al-Ḥāfiẓ Abū al-Khayr Muḥammad Ibnu al-Jazarī al-Dimashqī (w.833H) dalam kitabnya Hisn al-Hasin Min Kalam Sayyid al-Mursalin (Adab al-Du’a) berkata, “Di antara adab-adab berdoa itu ialah memohon kepada Allah dengan bertawassul dengan Para Nabi dan orang-orang saleh dari kalangan hamba-Nya”.

Istighathah dan Tawassul Menurut Para Ulama

Ramai ulama Ahl al-Sunnah menerima keharusan tawassul dan istighathah kepada para nabi dan orang-orang soleh dengan syarat meyakini bahawa Allah sahaja merupakan Penolong Hakiki.

Antaranya ialah Imam al-Ramli, Imam Ibn Hajar al-Haytami, Shaykh al-Kawthari, Mawlana Shabbir Ahmad ‘Uthmani, Shaykh ‘Ali Jumu‘ah dan ramai lagi.

Mereka menjelaskan bahawa meminta pertolongan kepada para nabi atau wali bukan bermaksud meyakini mereka berkuasa secara bebas daripada Allah, tetapi menjadikan mereka sebagai sebab dan wasilah yang Allah muliakan.

Mawlana Sayyid Munazir Ahsan al-Kaylani dalam kitabnya Sawanih al-Qasimi berkata:

إن رأي علماء ديوبند في الاستغاثة بأرواح الصالحين بعد مماتهم لا يختلف عن رأي عامة أهل السنة والجماعة، وذلك لأن الله تعالى يقيض ملائكته لنصر عباده، كما ورد في القرآن، وأن الرسول صلى الله عليه وسلم قد أعانه موسى عليه السلام في تخفيف الصلاة

“Pandangan Ulama Deoband mengenai meminta pertolongan kepada roh orang-orang yang soleh selepas kematian mereka adalah tidak berbeza dengan pendapat umum Ulama Ahli Sunnah wal Jama’ah, sebagaimana Allah Taala membangkitkan malaikat-Nya untuk menyokong hamba-hamba-Nya seperti yang disebutkan dalam Al-Quran, dan sebagaimana Rasulullah SAW dibantu oleh Nabi Musa a.s. dalam meringankan solat”.

Memahami Hakikat Sebab dan Musabbib

Pokok utama dalam isu ini ialah membezakan antara sebab dan pemberi kesan sebenar.

Seorang Muslim yang meminta bantuan doktor tidak menganggap doktor itu mencipta kesembuhan. Begitu juga seseorang yang bertawassul atau beristighathah kepada para nabi dan wali tidak menganggap mereka mencipta manfaat atau mudarat secara berdikari.

Yang memberi manfaat, menolak mudarat, menghidupkan, mematikan dan mentadbir segala sesuatu hanyalah Allah SWT.

Adapun para malaikat, para nabi, para wali, doa, amal soleh dan seluruh makhluk hanyalah sebab-sebab yang Allah jadikan dalam sistem alam ciptaan-Nya.

Kesimp**an

Berdasarkan nas-nas syarak serta huraian para ulama Ahl al-Sunnah wa al-Jama‘ah, beberapa kesimp**an penting dapat dirumuskan:

Pertama, kematian bukanlah ketiadaan, bahkan perpindahan manusia daripada alam dunia kepada alam barzakh. Roh tetap hidup dengan kehidupan yang sesuai dengan alam tersebut.

Kedua, hubungan antara orang hidup dan orang yang telah meninggal dunia tidak terputus secara mutlak. Terdapat dalil-dalil yang menunjukkan wujudnya bentuk hubungan, pengetahuan dan manfaat yang Allah izinkan antara kedua-dua alam.

Ketiga, para nabi, wali dan orang soleh tidak mempunyai kuasa bebas yang berdiri sendiri. Sebarang manfaat, pertolongan atau tasarruf yang berlaku melalui mereka hakikatnya adalah ciptaan dan perbuatan Allah semata-mata dalam rangka sunnatullah dan sistem sebab-musabab yang dikehendaki-Nya.

Keempat, tawassul dan istighathah kepada para nabi serta orang-orang soleh merupakan isu khilafiyyah yang telah dibahaskan oleh para ulama sejak berabad-abad lamanya. Ia tidak sewajarnya dijadikan alasan untuk menghukum syirik, sesat atau terkeluar daripada Ahl al-Sunnah terhadap pihak yang mengikuti pandangan ulama muktabar dalam masalah ini.

Kelima, ukuran utama dalam persoalan ini ialah akidah seseorang. Selama mana diyakini bahawa Allah SWT sahaja Penolong Hakiki, Pentadbir Hakiki dan Pencipta segala kesan, maka menjadikan para nabi, wali, doa dan amal soleh sebagai wasilah tidak menafikan tauhid af‘al Allah.

Justeru, adab yang paling selamat dalam perbahasan ini ialah menghormati khilaf ulama, berlapang dada terhadap perbezaan ijtihad dan menjauhi budaya mudah mensyirikkan atau menyesatkan sesama Muslim. Sebagaimana sabda Rasulullah SAW:

“Tersalah dalam memaafkan lebih baik daripada tersalah dalam menghukum.” (Sharh al-Shifa’ li Mulla Ali al-Qari)

Semoga bermanfaat.

iqbal Zain al-jauhari

Address

KUALA KETIL

09300

Alerts

Be the first to know and let us send you an email when Ustazah Hajar Official posts news and promotions. Your email address will not be used for any other purpose, and you can unsubscribe at any time.

Contact The Business

Send a message to Ustazah Hajar Official:

  • Want your business to be the top-listed Advertising & Marketing Company?

Share