01/08/2026
KENYATAAN MEDIA
DEWAN PEMUDA PAS NEGERI SELANGOR
BANTAHAN TERHADAP KENAIKAN MENDADAK KADAR PENGEBUMIAN ISLAM MBSA : MENGAPA RAKYAT TERUS DIBEBANKAN?
1. Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor (DPPNS) memandang serius dan membantah sekeras-kerasnya pengumuman terbaharu oleh Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) berhubung kadar bayaran baharu bagi pengurusan pengebumian di tanah perkuburan Islam di bawah pentadbirannya.
2. Berdasarkan surat rasmi edaran MBSA bertarikh 29 Jun 2026 (No. Rujukan: MBSA.KES.700-8/20/1), Mesyuarat Jawatankuasa Kewangan kali ke 4/2026 telah bersetuju dan meluluskan cadangan kadar baharu bagi pengurusan pengebumian di Seksyen 21 dan Seksyen 31 Shah Alam. Kadar ini telah mula berkuatkuasa pada hari ini, 1 Ogos 2026.
3. Melalui pemakluman tersebut, kadar harga baharu bagi penyediaan liang lahad dan kepuk kayu kini ditetapkan dengan peningkatan yang drastik iaitu RM270.00 untuk kategori Shah Alam, RM390.00 untuk kategori Luar Shah Alam, dan RM450.00 untuk kategori Bukan Warganegara. Kenaikan ini adalah sangat tidak munasabah lebih-lebih lagi ketika rakyat sedang bergelut dengan tekanan kos sara hidup yang semakin menghimpit.
4. Isu pokok yang ingin kami pertikaikan di sini adalah soal keutamaan dan tanggungjawab kerajaan. Umum mengetahui bahawa pendapatan tahunan MBSA kini dianggarkan mencecah angka setengah bilion ringgit hasil daripada kutipan cukai taksiran, pelesenan, kompaun, dan pelbagai sumber hasil pihak berkuasa tempatan (PBT). Dengan jumlah pendapatan yang begitu luar biasa besarnya, adalah sangat tidak wajar MBSA gagal menyerap kos pengurusan asas seperti penyediaan liang lahad dan kepuk kayu yang dianggarkan sangat kecil peratusannya berbanding keseluruhan bajet tahunan majlis.
5. Menguruskan jenazah umat Islam adalah suatu tuntutan maslahat awam. Adalah menjadi tanggungjawab hakiki dan moral bagi sebuah kerajaan negeri dan PBT yang mengutip cukai daripada rakyat untuk memastikan kebajikan asas rakyat ini terbela. Pihak MBSA memberikan alasan bahawa pengenalan kadar harga baharu yang merangkumi perkhidmatan penyediaan liang lahad dan kepuk kayu ini bertujuan untuk meningkatkan penyeragaman pusara serta memudahkan pihak waris dalam urusan pengebumian. Jika benar tujuannya adalah untuk memudahkan rakyat, DPPNS ingin mempersoalkan mengapa inisiatif "penyeragaman" ini memangsakan poket waris yang sedang bersedih, walhal MBSA boleh menggunakan peruntukan bajet gergasinya untuk menampung atau memberi subsidi terhadap kos ini?
6. Di manakah sinergi antara PBT dan institusi agama negeri seperti Lembaga Zakat Selangor (LZS) atau Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) dalam menyediakan dana bantuan khas pengurusan jenazah agar waris tidak terus ditekan dengan caj yang tinggi?
7. Oleh yang demikian, Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor menggesa pihak Datuk Bandar Shah Alam serta Kerajaan Negeri Selangor untuk menarik balik serta-merta atau menangguhkan pelaksanaan kadar baharu yang bermula pada 1 Ogos 2026 ini untuk dinilai semula.
8. Mewujudkan mekanisme subsidi pengurusan jenazah khusus untuk rakyat tempatan Selangor menggunakan peruntukan daripada pendapatan MBSA yang dianggarkan mencecah RM 500 juta lebih tersebut.
9. Kerajaan Negeri Selangor dan MBSA harus ingat, kebajikan rakyat bukan sekadar retorik di pentas ceramah, tetapi mesti diterjemahkan melalui polisi yang bersifat ihsan dan empati, terutamanya dalam urusan kematian.
USTAZ DR. AUBIDULLAH FAHIM BIN IBRAHIM
Timbalan Ketua Pemuda,
Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor