09/06/2026
PERTEMUAN MESRA BERSAMA NELAYAN-NELAYAN MUAR
Alhamdulillah thumma Alhamdulillah.
Syukur ke hadrat Ilahi kerana kami berkesempatan meluangkan masa beramah mesra bersama nelayan-nelayan Muar dalam satu pertemuan yang cukup bermakna.
Pertemuan ini menjadi ruang terbaik untuk mendengar sendiri suara, keluhan dan cabaran yang dihadapi oleh para nelayan dalam meneruskan kehidupan serta mencari rezeki di laut.
Pelbagai isu telah diketengahkan, antaranya berkaitan lesen nelayan, subsidi diesel, kemudahan tempat meletakkan bot serta beberapa perkara lain yang memberi kesan langsung kepada kehidupan harian mereka.
Apa yang lebih menyentuh hati, kami turut dimaklumkan tentang kes kecurian bot yang berlaku di kawasan mereka. Kejadian seperti ini bukan sahaja menyebabkan kerugian besar, malah turut mematahkan semangat nelayan yang bergantung sepenuhnya kepada laut sebagai punca rezeki.
Dalam pertemuan ini juga, kami dikhabarkan tentang pemergian seorang nelayan yang baru sahaja meninggal dunia secara tiba-tiba di laut akibat sakit jantung. Semoga roh Allahyarham dicucuri rahmat Allah SWT, diampunkan segala dosa-dosanya dan ditempatkan dalam kalangan orang-orang beriman.
Sesungguhnya, jasa para nelayan amat besar dalam membekalkan sumber makanan laut kepada penduduk setempat. Mereka keluar seawal pagi, berdepan panas, hujan dan gelora demi memastikan rezeki laut terus sampai ke meja rakyat.
Kami amat menghargai pengorbanan dan ketabahan para nelayan Muar. Semoga segala usaha mereka dipermudahkan, kebajikan mereka terus diberi perhatian dan mereka sentiasa kuat dalam menjemput rezeki kurniaan Allah yang terbentang luas di lautan.
Menyantuni, Berbudi dan Berdaya.