30/06/2022
*7 amalan bertepatan dengan Hadith dan Qur'an sepanjang 10 hari terawal Zulhijjah*
Semasa menyampaikan kuliah Maghrib di Surau Al-Manar, Presint 14, Putrajaya, saya kongsikan 7 amalan ini.
10 pertama Zulhijjah akan bermula malam ini. Boleh sama amalkan terutama yang no. 6.
1. Orang yang berkorban tidak memotong, mencabut dan mencukur, bulu atau kuku.
Rasulullah SAW bersabda:
مَنْ كَانَ لَهُ ذِبْحٌ يَذْبَحُهُ فَإِذَا أُهِلَّ هِلَالُ ذِي الْحِجَّةِ، فَلَا يَأْخُذَنَّ مِنْ شَعْرِهِ، وَلَا مِنْ أَظْفَارِهِ شَيْئًا حَتَّى يُضَحِّيَ
Maksudnya: “Barangsiapa yang mempunyai haiwan korban untuk disembelih, maka apabila terlihatnya anak bulan Zulhijjah, janganlah dia mengambil satu apa pun (yakni memotong) daripada rambutnya, mahupun daripada kukunya sehingga dia selesai berkorban.” HR Muslim, hadis sahih
2. Berpuasa pada bulan Arafah
Daripada Abu Qatadah bahawa Nabi Muhammad SAW bersabda:
صِيَامٌ يَوْمِ عَرَفَةَ أَحْتَسِبُ عَلَى اللهِ أَن يُكَفِّرُ السَّنَّةَ الَّتِي قَبْلَهُ وَالَّتِي بَعْدَهُ
Maksudnya: “Berpuasa pada hari Arafah kerana mengharap pahala daripada Allah adalah sebagai penghapus dosa bagi setahun sebelum dan sesudahnya.” HR Muslim, hadis sahih
3. Berdoa
Nabi Muhammad SAW bersabda:
خَيْرُ الدُّعَاءِ دُعَاءُ يَوْمِ عَرَفَةَ، وَخَيْرُ مَا قُلْتُ أَنَا وَالنَّبِيُّونَ مِنْ قَبْلِي: لَا إِلَهَ إِلَّا اللهُ وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ، لَهُ الْمُلْكُ، وَلَهُ الْحَمْدُ، وَهُوَ عَلَى كُلَّ شَيْءٍ قَدِيْرُ
Maksudnya: “Sebaik-baik doa ialah doa yang dibaca pada hari Arafah dan sebaik-baik zikir yang aku ucapkan dan juga diucapkan para nabi sebelumku ialah, tidak ada yang berhak disembah selain Allah yang satu, tidak ada sekutu bagi-Nya, milik-Nya kekuasaan dan milik-Nya segala pujian, dan Dia Maha Berkuasa atas segala sesuatu.” HR al-Tirmizi, hadis hasan
Hadis yang lain, Nabi Muhammad SAW bersabda:
مَا مِنْ يَوْمٍ أَكْثَرَ مِنْ أَنْ يُعْتِقَ اللَّهُ فِيهِ عَبْدًا مِنَ النَّارِ مِنْ يَوْمِ عَرَفَةَ وَإِنَّهُ لَيَدْنُو ثُمَّ يُبَاهِى بِهِمُ الْمَلاَئِكَةَ فَيَقُولُ مَا أَرَادَ هَؤُلاَءِ
Maksudnya: “Tidak ada hari di mana Allah membebaskan hamba dari neraka lebih banyak daripada hari Arafah, dan sungguh Dia mendekat lalu membanggakan mereka di depan para malaikat dan berkata: “Apa yang mereka inginkan?” HR Muslim, hadis sahih
4. Bertakbir
Sabda Nabi Muhammad SAW:
زَيِّنُوْا أَعْيَادَكُمْ بِالتَّكْبير
Maksudnya: “Kamu hiasilah hari raya dengan takbir.” HR al-Thabarani
Istimewa Raya Aidil Adha adalah umat Islam bertakbir lebih daripada satu hari.
Takbir bermula dari solat subuh Hari Arafah (9 Zulhijjah) hingga solat Asar pada Hari Tasyrik terakhir (13 Zulhijjah)
5. Berzikir
Hadis Nabi Muhammad SAW:
مَا مِنْ أَيَّامٍ أَعْظَمُ عِنْدَ اللَّهِ وَلَا أَحَبُّ إِلَيْهِ مِنْ الْعَمَلِ فِيهِنَّ مِنْ هَذِهِ الْأَيَّامِ الْعَشْرِ فَأَكْثِرُوا فِيهِنَّ مِنْ التَّهْلِيلِ وَالتَّكْبِيرِ وَالتَّحْمِيدِ
Maksudnya: “Tidak ada satu hari yang pahala di hari itu lebih besar di sisi Allah dan beramal di hari itu lebih dicintai di sisi Allah daripada sepuluh hari ini. Oleh sebab itu perbanyaklah kalian bertahlil, bertakbir dan bertahmid.” HR Ahmad
6. Berkorban bagi yang mampu
مَا عَمِلَ آدَمِيٌّ مِنْ عَمَلٍ يَوْمَ النَّحْرِ أَحَبَّ إِلَى اللَّهِ مِنْ إِهْرَاقِ الدَّمِ، إِنَّهُ لَيَأْتِي يَوْمَ القِيَامَةِ بِقُرُونِهَا وَأَشْعَارِهَا وَأَظْلَافِهَا، وَأَنَّ الدَّمَ لَيَقَعُ مِنَ اللَّهِ بِمَكَانٍ قَبْلَ أَنْ يَقَعَ مِنَ الأَرْضِ، فَطِيبُوا بِهَا نَفْسًا
Maksudnya: “Tidak ada amalan yang dilakukan oleh anak adam pada hari al-Nahr (Raya Aidiladha) yang lebih dicintai oleh Allah selain daripada menumpahkan darah (binatang korban). Sesungguhnya ia akan datang pada hari Kiamat dengan tanduknya, bulunya dan kukunya dan sesungguhnya darah tersebut akan sampai kepada redha Allah SWT sebelum ia jatuh ke bumi. Maka, bersihkanlah jiwa kamu (dengan berkorban).” Riwayat al-Tirmizi (1493). Imam al-Tirmizi menghukum hadis ini sebagai hasan gharib
7. Berikan makan daging korban dan sedekah kepada asnaf dan fakir miskin
فَكُلُوا۟ مِنْهَا وَأَطْعِمُوا۟ ٱلْبَآئِسَ ٱلْفَقِيرَ
Maksudnya: “Maka makanlah sebahagian daripadanya (haiwan korban) dan (sebahagian lagi) berikanlah untuk dimakan orang-orang yang sengsara dan fakir”.
Banyak lagi amalan lain yang boleh dilakukan, tidak terikat kepada 7 amalan ini sahaja seperti membaca Qur'an, berinfaq & etc. Ini hanyalah panduan untuk menggalakkan kita sahaja.
Ayuh kita berlumba-lumba merebut peluang yang Allah berikan di 10 awal Zulhijjah ini.