18/09/2026
SIDANG MEDIA PENGARAH PENGURUSAN PDRM MERANGKAP PESURUHJAYA POLIS SARAWAK BERHUBUNG KEJAYAAN TANGKAPAN DAN RAMPASAN DADAH DI SARAWAK
Kuching: 18 September 2026- Pengarah Pengurusan Polis Diraja Malaysia merangkap Pesuruhjaya Polis Sarawak, YDH CP Datuk Mohamad Zainal bin Haji Abdullah telah membuat kenyataan media berkaitan dengan kejayaan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Polis Diraja Malaysia menangkap ahli sindiket pengedaran dadah dan merampas dadah bernilai RM17.2 juta dalam dua operasi berasingan di Kuching dan Limbang pada 11 dan 14 September 2026 yang lalu.
CP Datuk Mohamad Zainal bin Haji Abdullah, berkata operasi itu dijalankan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman dengan kerjasama JSJN Sarawak.
Pada operasi pertama pada 11 September 2026, polis menahan seorang lelaki tempatan berusia 39 tahun di sebuah rumah di Kuching.Dalam serbuan tersebut, polis berjaya merampas 107.518 kilogram dadah yang terdiri daripada serbuk M**A seberat kira-kira 50.1 kilogram, ketamin (32.3 kilogram), cecair M**A (25 kilogram) dan pil Erimin 5 (0.118 kilogram).Jumlah dadah yang dirampas dianggarkan bernilai RM12.89 juta.
CP Datuk Mohamad Zainal berkata, sindiket berkenaan dipercayai aktif sejak Julai lalu dan menggunakan sebuah rumah teres sebagai tempat memproses serta membungkus dadah, selain dijadikan stor penyimpanan sebelum diedarkan di sekitar Kuching.
Katanya, ujian saringan awal air kencing suspek didapati positif methamphetamine/amphetamine, manakala semakan rekod jenayah mendapati lelaki itu mempunyai lima rekod lampau, termasuk satu berkaitan kesalahan dadah dan empat kesalahan jenayah.
Suspek kini ditahan reman selama tujuh hari bermula 12 September 2026 hingga 19 September 2026 bagi membantu siasatan.
Bagi operasi kedua pada 14 September 2026, CP Datuk Mohamad Zainal berkata Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah Limbang menahan seorang lelaki berusia 23 tahun di Jalan Mendamit, Limbang dan merampas 84.07 kilogram dadah terdiri daripada syabu seberat 81.21 kilogram, ketamin (2.06 kilogram) dan serbuk M**A (0.80 kilogram), dengan nilai keseluruhan dianggarkan RM4.3 juta.
Sindiket ini dipercayai aktif sejak November 2025 dan modus operandinya adalah menggunakan kenderaan pacuan empat roda bagi membawa bekalan dadah dari Miri ke Sabah melalui jalan darat.
Polis turut menyita sebuah kenderaan pacuan empat roda bernilai RM35,000 di bawah Akta Dadah Berbahaya (Pelucuthakan Harta) 1988,” katanya.
CP Datuk Mohamad Zainal berkata, ujian saringan awal air kencing suspek didapati negatif dadah dan semakan juga mendapati dia tidak mempunyai rekod kesalahan lampau.
Beliau berkata, suspek kini direman selama tujuh hari bermula 15 hingga 22 September 2026 bagi membantu siasatan lanjut dan kedua-dua kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952, yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup jika disabitkan kesalahan.
Keseluruhan dadah yang dirampas boleh merosakkan seramai 484,848 orang yang menggunakannya.
Hadir Sama, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Sarawak, ACP Mustafa Kamal Gani bin Abdullah; Ketua Polis Daerah Kuching, ACP Alexson Naga Anak Chabu dan Pengamal Media.
Sumber : Polis Sarawak