23/04/2022
MELANGKAU SEMPADAN KUDRAT
Alhamdulillah dengan izin Allah akhirnya buku "Melangkau Sempadan Kudrat" ini telah berada di tangan kita semua. Buku ini adalah kesinambungan dari buku "Penghuni Tiada Bermukim" yang memaparkan kisah dari pengalaman-pengalaman yang telah dilalui semasa penulis berkhidmat di PDRM selama 34 tahun.
Segala paparan peristiwa di dalam buku Jilid Kedua ini merupakan interpretasi dari pengalaman sebenar penulis sendiri yang kini dijelmakan dalam satu bentuk karya yang sesuai untuk dijadikan sebagai bahan bacaan seisi keluarga. Terdapat banyak pengajaran dan pedoman yang boleh diambil dari buku ini samada yang tersurat maupun yang tersirat untuk dijadikan panduan kita bersama. Pengisiannya sangat menarik, penuh dengan suspense yang mendebarkan namun dalam masa yang sama sangat menghiburkan juga. Pendek kata masih ada ruang untuk membuat kita tersenyum dan ketawa.
Kalau dulu penulis bergelut di tengah medan juang untuk menggalas tugas-tugas dan tanggung jawab yang telah diamanahkan kepada beliau, kini pengalaman-pengalaman itu telah dikongsikan untuk tatapan kita semua di dalam dua naskhah ini.
Suatu ketika dahulu, dalam ketenangan kita menjalani kehidupan sehari-hari, dalam lena tidur kita dibuai mimpi, dalam enak kita menjamu selera berpesta di sana sini, dalam gembira kita beralih angin di pelbagai destinasi, pernahkah terlintas di fikiran kita bahawa di dalam masa yang sama, terdapat satu lagi kelompok insan berjiwa kental dan cekal lagi perkasa yang terpaksa meninggalkan keluarga tersayang bersama kehidupan normal seperti yang kita rasa, yang sanggup tidur bersama nyamuk dan unggas serta ancaman haiwan berbisa, yang sentiasa bersiap siaga sepanjang masa di dalam kedinginan embun dan hujan tanpa tilam hangat tanpa berbumbung serta pasrah akan nyawa yang mungkin akan hilang dimuncung senjatapi musuh pada bila-bila masa. Segalanya dijalani tanpa bantahan demi memastikan kita dapat merasai semua keseronokan yang kita sedang nikmati itu.
Justeru tiada kata-kata indah yang selayaknya untuk kita berikan kepada semua perwira negara khususnya kepada penulis yang kini telah sudi berkongsi segala s**a duka dalam memerah kudratnya yang melangkaui sempadan upaya seorang insan demi negara dan kita semua suatu waktu dahulu. Ini adalah sebuah perkongsian yang sangat bermakna dan mempunyi nilai yang tersendiri untuk dijadikan renungan buat kita. Semoga dengan ini kita semua akan lebih menghargai erti sebuah pengorbanan demi sebuah kemerdekaan dan kedamaian.
Hanya Allah saja yang mampu membalas segala jerih payah para perwira negara yang menggadai nyawa di dalam perjuangan hidup dan mati demi kesejahteraan anak cucu kita semua.
Tabik hormat buat penulis dan semua anggota pas**an keselamatan negara khususnya dari PDRM dan ATM .
MMA.
KUALA LUMPUR.
Dapatkan hari ini!