YB Peghelih

YB Peghelih Yellow Blue Perlis 💛💙
Kuning Biru Negeriku
Gerbang Cerita Perlis

05/05/2026

Tabika Autisme Pertama Di Perlis..Lokasi Kuala Perlis

-Yb Peghelih-

Perlis GSA akan terus berjuang sekali pun tinggal lapan orang|PERLIS|: Perlis Guar Syed Alwi (GSA FC) akan terus bertaha...
04/05/2026

Perlis GSA akan terus berjuang sekali pun tinggal lapan orang

|PERLIS|: Perlis Guar Syed Alwi (GSA FC) akan terus bertahan sehingga akhir musim Liga A1 Semi Pro yang berbaki tiga perlawanan lagi meskipun terpaksa berdepan pelbagai kekangan.

Disebalik berdepan masalah kecederaan pemain, komitmen kerja serta kewangan, pasukan itu akan kekal berjuang di dalam liga sekali pun jika terpaksa beraksi dengan lapan pemain.

Presiden Perlis GSA, Izizam Ibrahim berkata, sememangnya diakui Perlis GA berdepan masalah kewangan khususnya selepas tidak dapat beraksi di Stadium Tuanku Syed Putra yang menjalani proses baik pulih.

Katanya, selain daripada tajaan, Perlis GSA juga sememangnya bergantung kepada hasil jualan tiket bagi menampung operasi pasukan.

“Bagaimanapun, kita tidak pernah mengalah dan meneruskan perjuangan dalam saingan liga dan meskipun terpaksa bermain lapan orang sebelum ini, kita masih tetap teruskan,” katanya.

Sabtu lalu, aksi antara Kelantan WTS FC dan Perlis GSA terpaksa dihentikan apabila Singa Utara turun beraksi dengan hanya lapan orang pemain tanpa pemain simpanan.

Susulan itu, keputusan rasmi menyaksikan Kelantan WTS diberikan kemenangan 3-0 berdasarkan peraturan pertandingan.

Perlis GSA FC dalam satu kenyataan selepas itu memaklumkan beberapa faktor utama menjadi punca termasuk kecederaan serius pemain utama, penggantungan akibat kad serta komitmen kerja yang tidak dapat dielakkan.

Isu kekurangan pemain itu bukanlah kali pertama berlaku apabila insiden sama pernah tercetus pada Mac lalu membabitkan perlawanan Kelantan WTS FC menentang Machan FC di Stadium Sultan Muhammad IV.

Sementara itu, Izizam berkata, tidak dinafikan, menguruskan pasukan bola sepak memerlukan sumber kewangan yang banyak dan menuntut pengorbanan.

“Disebalik kekangan tersebut, kami terus bertahan sehingga kini. Kita berharap penyokong dapat hadir ke stadium bagi memberikan sokongan sekali gus dapat bersama-sama membantu pasukan yang membawa nama Perlis itu menerusi hasil jualan tiket,” katanya.

📸:Kelantan WTS FC

-Yb Peghelih-

Bekas Ketua Pemuda Amanah Perlis kembali sertai UMNO|PERLIS| : Bekas Ketua Pemuda Parti Amanah Negara (Amanah) Perlis, D...
04/05/2026

Bekas Ketua Pemuda Amanah Perlis kembali sertai UMNO

|PERLIS| : Bekas Ketua Pemuda Parti Amanah Negara (Amanah) Perlis, Dr. Ahmad Fadhzil Mohamad yang mengumumkan keluar daripada parti itu minggu lalu, kembali menyertai UMNO.

Katanya, keputusan tersebut diambil selepas beliau membuat pertimbangan sewajarnya bersama penasihat serta pasukannya.

Beliau berkata, sejurus mengumumkan keluar daripada Amanah, dia menerima pelbagai panggilan, pertemuan dan jemputan daripada pimpinan beberapa parti politik.

“Saya dengan penuh rendah hati merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada sahabat-sahabat daripada PKR, Pas, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan UMNO atas kepercayaan serta kesediaan untuk bersama saya dalam perjuangan masing-masing.

“Niat dan keikhlasan tersebut amat saya hargai. Namun, setelah melalui pertimbangan mendalam, perbincangan bersama penasihat serta pasukan saya, dengan ini, saya mengumumkan kembali menyertai UMNO,” katanya di sini hari ini.

Minggu lalu, Ahmad Fadhzil mengumumkan keluar daripada Amanah seterusnya melepaskan semua jawatan yang disandang termasuk Ketua Biro Kesihatan Pemuda Nasional Amanah dan Ketua Pemuda Amanah kawasan Kangar serta jawatan Ketua Pemuda Pakatan Harapan (PH) negeri.

Sementara itu, katanya, beliau pernah menjadi ahli UMNO sejak 2004 melalui Kelab UMNO Luar Negara di Ukraine selain pernah diberi amanah dalam beberapa portfolio termasuk biro kebajikan pelajar serta protokol.

“Saya melihat UMNO sebagai Rumah Bangsa iaitu wadah perjuangan yang paling tepat untuk saya meneruskan tanggungjawab demi agama, bangsa dan tanah air. Saya bertekad untuk bersama kepimpinan dan akar umbi dalam memperkukuh UMNO di negeri Perlis.

“Perjuangan ini bukan sekadar politik, tetapi satu amanah besar untuk masa depan negeri dan generasi akan datang. Dengan penuh rasa tanggungjawab, saya melangkah masuk semula ke dalam perjuangan ini,” katanya.

-Yb Peghelih-

Kalimah Allah dalam tokong: Polis tahan pemilik kedai alat perkakasan |PERLIS| : Polis menahan seorang warga emas berusi...
03/05/2026

Kalimah Allah dalam tokong: Polis tahan pemilik kedai alat perkakasan

|PERLIS| : Polis menahan seorang warga emas berusia 61 tahun bagi membantu siasatan membabitkan kes kalimah Allah SWT di dalam tokong di sebuah kedai alat perkakasan sekitar Persiaran Jubli Emas di sini hari ini.

Ketua Polis Perlis, Datuk Muhammad Abdul Halim berkata, lelaki itu dipercayai pemilik premis berkenaan ditahan pada pukul 3 petang bagi membantu siasatan kes berkenaan.

Beliau berkata, siasatan akan dijalankan di bawah Seksyen 298 Kanun Keseksaan / 14 Akta Kesalahan Kecil 1955 (AKK 1955).

“Polis juga memohon agar mana-mana pihak dapat menghentikan andaian atau provokasi dan memberi ruang untuk tindakan selanjutnya bagi menangani kes ini,” katanya di sini hari ini.

Terdahulu, Muhammad mengesahkan polis menerima laporan mengenai kalimah Allah dalam sebuah tokong kecil di sebuah kedai perkakasan sebagai mana tular dalam media sosial.

Sebelum itu, media melaporkan sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bersama seorang individu membuat laporan polis berhubung penularan video berkenaan.

Menurut wakil NGO itu, Sazeli Saad, 45, berkata, pihaknya tampil membuat laporan itu selepas melihat satu hantaran tular di laman sosial berkaitan kalimah Allah yang terdapat dalam tokong di kedai alatan perkakasan tersebut.

Kata Muhammad, polis akan melakukan siasatan lanjut berdasarkan laporan bagi mengenal pasti individu merakam video selain mengambil keterangan pemilik premis perniagaan itu.

-Yb Peghelih-

Bayi meninggal di bawah jagaan pengasuh memasuki episod baharu[PERLIS]: Isu membabitkan kematian seorang bayi perempuan ...
30/04/2026

Bayi meninggal di bawah jagaan pengasuh memasuki episod baharu

[PERLIS]: Isu membabitkan kematian seorang bayi perempuan berusia lapan bulan semasa berada di bawah jagaan pengasuh memasuki episod baharu apabila sepasang lagi suami isteri tampil memberi keterangan bagi membantu siasatan kes berkenaan.

Pasangan itu, Mohamad Yuzri Yaacob, 35, dan Siti Munirah Ghozali, 35, tampil memberi keterangan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Arau memandangkan sebelum ini mereka juga pernah menghantar bayi berada di bawah jagaan pengasuh terlibat.

Mohamad Yuzri berkata, sepanjang bayinya berada di bawah jagaan pengasuh berkenaan dalam tempoh hampir setahun, pihak terlibat pernah beberapa kali cuai dan mengabaikan anak kedua mereka itu.

“Saya hantar anak saya ke sana ketika berusia enam ke tujuh bulan dan terdapat beberapa kali (pengasuh) dipercayai cuai dalam penjagaan di mana anak kami pernah jatuh katil semasa dalam jagaan, sehingga terdapat kesan lebam.

“Malah pengasuh itu juga tidak maklumkan serta-merta kepada kami berhubung kejadian itu dan hanya beritahu semasa kami ambil anak pada waktu petang,” katanya ketika ditemui selepas tampil memberi keterangan selama kira-kira dua jam di IPD Arau di sini hari ini.

Pada 29 April lalu, sepasang suami isteri dari Taman Sri Wang Fasa 1 di sini dilaporkan menuntut pembelaan susulan kematian bayi perempuan mereka berusia lapan bulan yang meninggal dunia ketika berada di bawah jagaan seorang pengasuh pada 15 April lalu.

Aisyawati Isa, 34, bersama suaminya, Mohamad Zaerwafar Che Mat Zaidin, 34, meminta agar siasatan terperinci dijalankan berhubung kematian anak mereka, Aufa Zayyana Mohamad Zaerwafar yang disahkan meninggal dunia selepas menerima rawatan di hospital.

Susulan itu, polis turut mengesahkan menerima laporan berhubung kematian bayi berkenaan�iaitu sekitar pukul 7.19 malam menerusi panggilan dari Bahagian Kecemasan Hospital Tuanku Fauziah (HTF), pada hari tersebut.

Sementara itu, Siti Munirah p**a berkata, terdapat juga saksi lain mendakwa bayinya itu pernah ditinggalkan berdua bersama anak pengasuh yang berusia lima tahun di rumah.

“Saksi beritahu bayi kami pernah ditinggalkan bersama anak pengasuh berusia lima tahun di rumah berdua beberapa kali memandangkan dia (pengasuh) keluar untuk hantar seorang lagi anak ke sekolah.

“Disebabkan unsur pengabaian dan kecuaian ini, maka kami memilih tampil untuk salurkan maklumat bagi membantu siasatan kes kematian bayi di bawah jagaan pengasuh sama sebelum ini,” katanya.

Pasangan itu juga berharap kes tersebut dapat disiasat dengan sebaiknya bagi memberi pembelaan kepada keluarga mangsa terlibat

-ybpeghelih-

Ketua Pemuda Amanah Perlis keluar parti, letak semua jawatan|PERLIS|: Ketua Pemuda Parti Amanah Negara (Amanah) Perlis, ...
29/04/2026

Ketua Pemuda Amanah Perlis keluar parti, letak semua jawatan

|PERLIS|: Ketua Pemuda Parti Amanah Negara (Amanah) Perlis, Dr. Ahmad Fadhzil Mohamad mengumumkan keluar daripada parti itu.

Beliau turut mengumumkan melepaskan semua jawatan disandang termasuk Ketua Biro Kesihatan Pemuda Nasional Amanah dan Ketua Pemuda Amanah kawasan Kangar serta jawatan Ketua Pemuda Pakatan Harapan (PH) negeri.

Ahmad Fadhzil berkata, keputusan keluar parti diambil setelah melalui proses pertimbangan yang panjang, teliti dan mendalam khususnya terhadap peranan beliau sebagai pemimpin muda serta hala tuju perjuangan ingin dibawa.

Katanya, sepanjang tempoh bersama Amanah, beliau telah berusaha sedaya upaya untuk menyumbang kepada pembangunan parti, memperkukuh suara anak muda serta mendekati masyarakat melalui pelbagai inisiatif khususnya dalam bidang kesihatan dan kebajikan rakyat.

“Namun, saya melihat terdapat jurang yang semakin ketara antara prinsip perjuangan saya pegang dengan pendekatan serta keutamaan semasa dalam landskap politik sedang dilalui.

“Sehubungan itu, saya mengambil keputusan untuk mengundur diri daripada semua jawatan serta keahlian parti bagi memberi ruang kepada kepimpinan lain meneruskan agenda mereka di samping membolehkan saya menumpukan sepenuh perhatian kepada usaha-usaha yang lebih dekat dengan masyarakat dan selari dengan prinsip perjuangan saya,” katanya di sini hari ini.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada seluruh pimpinan, rakan seperjuangan serta anggota parti di semua peringkat atas kepercayaan, sokongan dan kerjasama telah diberikan sepanjang perjalanan ini.

“Di kesempatan ini juga, saya ingin memohon ampun dan maaf atas segala kekhilafan dan kekurangan sepanjang saya memegang amanah diberikan. Akhir kalam, saya mendoakan agar Parti Amanah Negara terus maju dan berjaya dalam memperjuangkan aspirasi rakyat serta mencapai matlamat yang dihasratkan,” katanya

Dalam pada itu, jawatan Ketua Pemuda PH negeri akan dipangku oleh timbalan, Azzin Izzad Bahanudin yang juga merangkap Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) negeri.

Azzin Izzad berkata, jawatan ketua Pemuda PH negeri tersebut akan dipangku oleh beliau sementara menantikan arahan lanjut daripada kepimpinan Angkatan Muda Harapan pusat berhubung tindakan seterusnya.

“Kita akan terus istiqamah bergerak sebagai sayap pemuda kepada gabungan parti-parti dalam PH serta memainkan peranan sebagai suara semak dan imbang yang konstruktif terhadap pentadbiran kerajaan negeri Perlis pada hari ini. Kami merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada Ahmad Fadhzil atas segala jasa, komitmen dan keringat telah dicurahkan sepanjang memimpin Angkatan Muda Harapan Perlis,” katanya.

-Yb Peghelih-

Dokumen pertukaran penjawat awam tular, kerajaan negeri buat laporan polis|PERLIS|: Kerajaan negeri menerusi Bahagian Pe...
29/04/2026

Dokumen pertukaran penjawat awam tular, kerajaan negeri buat laporan polis

|PERLIS|: Kerajaan negeri menerusi Bahagian Pengurusan Sumber Manusia Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) Perlis membuat laporan polis berhubung penularan salinan dokumen pertukaran penjawat awam di negeri ini.

Menteri Besar, Abu Bakar Hamzah berkata, laporan polis itu dibuat bagi menafikan penularan dokumen tersebut dikeluarkan oleh Bahagian Pengurusan Sumber Manusia Pejabat SUK Perlis.

“Laporan polis itu dibuat bagi menafikan tularnya dokumen itu adalah melalui Bahagian Pengurusan Sumber Manusia Pejabat SUK Perlis,” katanya di Kompleks Seri Putra, di sini, hari ini.

Sebelum ini, Aktivis Pembela Tanah Air (Peta), Badrul Hisham Shaharin atau Chegubard mendedahkan beberapa salinan dokumen pertukaran penjawat awam di negeri ini menerusi laman sosial beliau.

Menerusi kemaskini itu, Chegubard mendakwa kerajaan negeri telah bertindak agresif bagi menukarkan penjawat awam keluar dari Perlis.

Dokumen dilampirkan itu juga dikatakan hanya memaparkan sebahagian dari pertukaran tersebut termasuk membabitkan penjawatan Pegawai Tadbir Diplomatik (PTD).

Abu Bakar berkata, isu dibangkitkan itu adalah merupakan perkara biasa malah kerajaan negeri sememangnya ada mencadangkan beberapa pertukaran sebelum ini.

“Kita ada cadang beberapa pertukaran bagi tempat-tempat yang kita rasa perlu. Tapi bukan keseluruhan seperti mana ditularkan. Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA) sendiri juga akan menilai,” katanya.

-YB Peghelih-

Sidang DUN Perlis 3 hingga 5 Jun depan [PERLIS]: Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perlis Penggal Keempat bakal be...
29/04/2026

Sidang DUN Perlis 3 hingga 5 Jun depan

[PERLIS]: Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perlis Penggal Keempat bakal berlangsung pada 3 hingga 5 Jun depan selepas ditangguhkan sebelum ini.

Perkembangan itu diumumkan Menteri Besar, Abu Bakar Hamzah pada sidang media bersama Speaker Kerajaan Negeri, Rus'sele Eizan di Kompleks Seri Putra, di sini, hari ini.

Menurut Abu Bakar, persidangan DUN sebelum ini bukannya ditangguhkan namun pelaksanaannya dipinda ke satu tarikh baharu bagi membolehkan persediaan sewajarnya dilakukan oleh kerajaan negeri.

“Macam saya umumkan, saya ini baru tiga bulan lebih jadi Menteri Besar, dan kebetulan Setiausaha Kerajaan Negeri juga baharu.

“Dalam masa sama, kita sedang rangka hal tuju kepimpinan dari segi penubuhan jawatankuasa peneraju atau Jawatankuasa Perancangan Perlis Maju di mana saya akan umumkan semasa sesi penggulunggan nanti,” katanya di sini, hari ini.

Sebelum ini, enam wakil rakyat dari Pas menuntut penjelasan daripada Abu Bakar berhubung penangguhan sidang DUN Perlis yang disifatkan mereka tidak pernah berlaku sebelum ini.

Desakan tersebut diketuai Mohd. Shukri Ramli (Sanglang) bersama lima yang lain iaitu Muhammad Azmir Azizan (Santan); Asrul Aimran Abd Jalil (Kayang); Razali Saad (Simpang Empat); Wan Badariah Wan Saad (Mata Ayer) dan Haziq Asyraf Dun (Beseri).

Abu Bakar sebelum ini turut menafikan penangguhan sidang DUN Perlis yang dijadual berlangsung pada 21 sehingga 23 April lalu adalah disebabkan beliau takut digulingkan.

Sebaliknya, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Perlis itu menekankan bahawa keputusan menangguhkan sidang tersebut bukan berada di bawah kuasa mutlak Menteri Besar sebaliknya dibuat berdasarkan nasihat tertentu demi kepentingan pentadbiran negeri.

Ujar Abu Bakar, fokus bagi merangka hala tuju jawatankuasa tersebut juga mengambil sedikit masa dan memerlukan kepada pindaan tarikh tersebut.

“Dengan tarikh baharu ini, persiapan untuk umumkan hala tuju pembangunan ekonomi Perlis yang akan diumumkan nanti,” katanya.

-ybpeghelih-

Polis sahkan terima laporan bayi meninggal dunia di rumah pengasuh[PERLIS]: Polis mengesahkan menerima laporan berhubung...
28/04/2026

Polis sahkan terima laporan bayi meninggal dunia di rumah pengasuh

[PERLIS]: Polis mengesahkan menerima laporan berhubung kematian seorang bayi perempuan berusia lapan bulan semasa berada di bawah jagaan pengasuh di Taman Sri Wang, di sini, pada 15 April lepas.

Ketua Polis Daerah Arau, Superintenden Ahmad Mohsin Md. Rodi berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian itu sekitar pukul 7.19 malam menerusi panggilan dari Bahagian Kecemasan Hospital Tuanku Fauziah (HTF), pada hari berkenaan.

Ahmad Mohsin berkata, ibu bayi itu yang merupakan pengadu kes ini memaklumkan bahawa dia mendapati terdapat kesan lebam pada bahagian hidung dan dahi anaknya itu semasa p**ang dari rumah pengasuh pada 7 April lepas.

“Pengasuh memberitahu anak pengadu telah terjatuh dan terkena rak televisyen. Sebelum kejadian, anak pengasuh yang berumur 6 tahun dikatakan sedang bermain dengan anak pengadu di ruang tamu rumah. Pengasuh memaklumkan anaknya ada memegang bayi itu.

“Setelah p**ang ke rumah, pengadu telah memaklumkan kejadian itu kepada suaminya. Dia kemudian turut tuam dahi anaknya dengan menggunakan ais dan bayi itu juga tidak dirujuk ke klinik memandangkan berada dalam keadaan baik serta sihat seperti biasa,” katanya.

Ahmad Mohsin berkata, namun begitu, pada 15 April sekitar pukul 5.16 petang, bayi itu dikatakan tidak sedarkan diri dan pengasuh berkenaan turut menghubungi pengadu bagi memaklumkan kejadian tersebut.

Katanya, pengasuh juga mendakwa mendengar bayi itu menangis semasa berada di dapur lalu dia kemudiannya terus ke bahagian ruang tamu dan mendapati anak asuhannya itu berada dalam keadaan lesu serta tidak bermaya.

“Pengadu kemudian bergegas ke rumah pengasuh dan melihat anaknya dalam keadaan kekejangan. Dia dan pengasuh kemudiannya segera membawa bayi itu ke Unit Kecemasan Klinik Kesihatan Arau lalu dirujuk ke Unit Kecemasan HTF,” katanya.

Ujar Ahmad Mohsin, pemeriksaan oleh Pegawai Perubatan HTF mendapati bayi itu mengalami lebam di bahagian kiri dahi dan berada dalam keadaan sawan semasa dirujuk ke Unit Kecemaan hospital berkenaan.

Katanya, hasil imbasan tomografi berkomputer (CT Scan) mendapati terdapat bengkak dan pendarahan pada bahagian otak mangsa serta memerlukan prosedur pembedahan.

“Pada 22 April sekitar pukul 5.08 petang, mangsa telah meninggal dunia di Wad Unit Rawatan Rapi Kanak-Kanak (PICU) HSB. Pemeriksaan luaran ke atas mayat tidak menunjukkan tanda kecederaan pada badan mangsa.

“Terdapat pendarahan subdura pada semua bahagian dura otak terutama pada bahagian kiri dura. Kecederaan itu disebabkan oleh daya trauma tumpul pada bahagian kepala,” katanya.

Tambahnya, pengasuh itu juga telah ditahan pada 16 April lalu sekitar pukul 2.30 petang dan telah dibebaskan dengan jaminan polis.

“Siasatan masih dijalankan di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak (AKK) 2001,” katanya.

-ybpeghelih-

Pasangan suami isteri tuntut pembelaan kematian bayi perempuan 8 bulan[PERLIS]: Pasangan suami isteri dari Taman Sri Wan...
28/04/2026

Pasangan suami isteri tuntut pembelaan kematian bayi perempuan 8 bulan

[PERLIS]: Pasangan suami isteri dari Taman Sri Wang Fasa 1, di sini, menuntut pembelaan susulan kematian bayi perempuan mereka berusia lapan bulan semasa berada dibawah jagaan pengasuh, pada 15 April lalu.

Aisyawati Isa, 34, bersama suaminya, Mohamad Zaerwafar Che Mat Zaidin, 34, menuntut agar siasatan terperinci dijalankan berhubung kematian bayi mereka, Aufa Zayyana yang meninggal dunia di rumah pengasuh terlibat.

Menceritakan kejadian itu, Aisyawati berkata, dia telah menerima panggilan daripada pengasuh berkenaan kira-kira pada pukul 5.20 petang yang memaklumkan bayinya itu tidak sedarkan diri.

“Saya kemudiannya bergegas ke rumah pengasuh yang terletak kira-kira lima minit dari rumah saya dan mendapati bayi kami sudah tidak sedarkan diri serta kelihatan seperti mengalami sawan sebelum dibawa ke unit kecemasan Hospital Tuanku Fauziah (HTF).

“Keadaan anak kami ketika itu kritikal dan memerlukan pembedahan di Hospital Sultanah Bahiyyah (HSB), Alor Setar pada keesokan harinya akibat pendarah beku di kepala.

“Selepas seminggu bertarung nyawa dan menjalani pembedahan tersebut, bayi kami kemudiannya disahkan meninggal dunia di HSB dan telah dikebumikan di Jeli, Kelantan,” katanya ketika ditemui di kediaman mereka, di sini, hari ini.

Aisyawati berkata, pada hari kejadian, anaknya itu juga berada dalam keadaan sihat dan ceria sebelum dihantar ke rumah pengasuh berkenaan.

Katanya, bayinya itu juga baharu sebulan berada di bawah jagaan pengasuh tersebut dan sepanjang tempoh berkenaan, anaknya tidak menunjukkan sebarang tanda sakit atau sebaliknya.

“Setiap hari saya hantar anak sekitar jam 6.45 pagi dan ambil semula antara pukul 5.15 hingga 5.20 petang. Namun pada hari kejadian, saya ambil dia dalam keadaan tidak sedarkan diri, dan ini sangat berbeza kerana sebelum ini dia sentiasa gembira setiap kali nampak saya,”katanya.

Sementara itu, Mohamad Zaerwafar berkata, pihak keluarga turut melantik peguam bagi mengambil tindakan selanjutnya berhubung kes kematian bayinya itu.

Menurutnya, pengasuh terlibat juga memaklumkan bayi mereka itu hanya menangis sebelum tiba-tiba tidak sedarkan diri pada hari kejadian

“Laporan polis juga telah dibuat pada hari sama dan kami juga akan menyerahkan beberapa bukti penting bagi membantu siasatan.

“Kami berharap kebenaran dapat ditegakkan dan keadilan dapat ditegakkan dalam anak kami,” katanya.

Dalam pada itu, peguam yang mewakili keluarga berkenaan, Zuhair Ahmad Zakuan enggan memberi sebarang komen berikutan siasatan kes itu masih berjalan.

“Kami dilantik oleh keluarga untuk membantu kes ini dan berharap agar siasatan kes ini dijalankan dengan sebaiknya,” katanya.

-ybpeghelih-

Address

Kangar
01000

Alerts

Be the first to know and let us send you an email when YB Peghelih posts news and promotions. Your email address will not be used for any other purpose, and you can unsubscribe at any time.

Contact The Business

Send a message to YB Peghelih:

Share