08/03/2026
MESYUARAT AGUNG KAWASAN (MAK) KOGURU 2026 โ KAWASAN KEMAMAN
Kuala Terengganu | 7 Mac 2026 (Sabtu)
Koperasi Warga Pendidikan Terengganu Berhad (KOGURU) telah berjaya menganjurkan Mesyuarat Agung Kawasan (MAK) KOGURU 2026 bagi Kawasan Kemaman secara hibrid, selaras dengan peruntukan Akta Koperasi 1993, Peraturan-Peraturan Koperasi 2010 serta Undang-Undang Kecil KOGURU.
Mesyuarat tersebut telah dipengerusikan oleh Mohamad Ziyad bin Mohd Lazim dengan dibantu oleh Haji Juhari bin Ismail selaku Setiausaha Mesyuarat. Turut hadir ialah Tuan Haji Samsudin bin Ismail, Pengerusi Kehormat KOGURU; Tuan Haji Rohadi bin Jusoh, Bendahari Kehormat; barisan Anggota Lembaga Koperasi serta anggota-anggota KOGURU dari Kawasan Kemaman.
Daripada 1,400 anggota yang layak, seramai 275 anggota telah hadir, termasuk seorang anggota yang menyertai mesyuarat dari luar negara. Kehadiran ini telah memenuhi syarat kuorum sekali gus membolehkan mesyuarat dijalankan dengan sah dan teratur.
Mesyuarat turut diisi dengan beberapa sesi taklimat kepada anggota. Haji Rosdi bin Hashim telah menyampaikan penerangan mengenai peranan dan tanggungjawab anggota dalam memajukan koperasi serta kepentingan anggota, khususnya yang bakal bersara atau telah bersara, untuk mengemas kini maklumat peribadi bagi memudahkan urusan koperasi. Beliau juga menekankan kepentingan mengekalkan status anggota aktif agar anggota terus menikmati pelbagai kemudahan, sumbangan kebajikan dan perkhidmatan yang ditawarkan oleh KOGURU.
Selain itu, anggota turut diberikan taklimat mengenai Kedai Koperasi yang disampaikan oleh En. Mat Napis bin Saari. Dalam sesi tersebut, pelbagai produk pengguna yang ditawarkan oleh koperasi telah diperkenalkan, antaranya produk Morico, G Beauty, barangan kaca serta peralatan elektrik. Turut diperkenalkan ialah beberapa perkhidmatan kepada anggota termasuk Takaful Kenderaan, kemudahan pembiayaan serta penyediaan cenderahati.
Anggota juga dikongsikan maklumat mengenai Program Ibadah Korban Luar Negara yang dilaksanakan dengan kerjasama EZ Qurban, yang menawarkan pakej serendah RM299 bagi satu bahagian lembu korban. Peserta turut akan menerima sijil serta rakaman video sebagai bukti pelaksanaan ibadah korban tersebut.
Taklimat tersebut dijalankan dalam bentuk sesi podcast yang dikendalikan oleh Mohd Faisal bin Jusoh @ Mamat sebagai moderator.
Dalam sesi taklimat yang lain, Tuan Haji Juhari bin Ismail turut menyampaikan penerangan berkaitan Pelaburan Modal Khas Ar-Rahnu, yang membuka peluang kepada anggota untuk membuat pelaburan sehingga RM50,000 dengan pulangan yang kompetitif.
Dalam ucapan alu-aluan, Pengerusi Kehormat KOGURU, Haji Samsudin bin Ismail, memaklumkan bahawa prestasi kewangan KOGURU bagi tahun kewangan 2025 menunjukkan pencapaian yang amat memberangsangkan dengan pendapatan kasar sebanyak RM20 juta, keuntungan bersih RM8.3 juta, serta aset semasa berjumlah RM197 juta. Kejayaan ini turut menyaksikan KOGURU berada di kedudukan ke-21 dalam Senarai 100 Koperasi Terbaik Malaysia bagi tahun 2025, di samping menerima pelbagai anugerah dan pengiktirafan di peringkat kebangsaan.
Penganjuran mesyuarat ini menjadi platform penting dalam memperkukuh hubungan antara anggota serta meningkatkan kefahaman mengenai peranan koperasi dalam menjana manfaat ekonomi dan kebajikan kepada seluruh warga anggotanya