02/01/2026
CORETAN PEGUAM
Insiden melibatkan sebuah treler yang melanggar serta menyeret tiga buah kereta yang diparkir di tepi laluan di kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Jejantas Ayer Keroh, daerah Alor Gajah, Melaka, telah mencetuskan perbincangan hangat dalam kalangan netizen.
Terdapat pihak yang menyalahkan pemandu treler, dan tidak kurang juga yang menyalahkan pemilik kenderaan yang meletakkan kereta di kawasan tersebut.
Sekiranya laporan polis dibuat sama ada oleh pemilik kereta atau pemandu treler, pihak polis bertanggungjawab menjalankan siasatan secara adil berdasarkan peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa.
Persoalan utama adalah:
Apakah peruntukan undang-undang yang relevan terhadap tindakan pemandu treler yang melanggar dan menyeret kenderaan tersebut, dan apakah p**a peruntukan yang terpakai ke atas pemilik kenderaan yang meletakkan kereta di kawasan yang tidak dibenarkan?
Perlu difahami bahawa proses siasatan dan pendakwaan di mahkamah adalah dua perkara yang berbeza.
Bagi pemandu treler, siasatan boleh dijalankan di bawah Seksyen 425 Kanun Keseksaan, iaitu kesalahan khianat, yang merujuk kepada perbuatan dengan niat menyebabkan kerugian atau memusnahkan harta milik orang lain.
Hukuman bagi kesalahan ini diperuntukkan di bawah Seksyen 426 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima (5) tahun, atau denda, atau kedua-duanya sekali.
Manakala bagi pemilik kenderaan yang meletakkan kereta di kawasan tidak dibenarkan, siasatan boleh dibuat di bawah Seksyen 48(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987, iaitu kesalahan menyebabkan halangan di jalan raya.
Seksyen ini memperuntukkan bahawa adalah satu kesalahan jika sesuatu kenderaan berhenti di mana-mana jalan sehingga menyebabkan halangan atau kesusahan yang tidak munasabah kepada pengguna jalan raya yang lain.
Jika disabitkan kesalahan, pesalah boleh dikenakan denda tidak kurang daripada RM1,000 dan tidak melebihi RM5,000, atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi satu (1) tahun, atau kedua-duanya sekali.
Setelah siasatan selesai, kuasa untuk memutuskan pertuduhan serta peruntukan undang-undang yang sesuai terletak sepenuhnya di bawah budi bicara pihak pendakwa raya.
Apabila pertuduhan dibacakan di mahkamah, tertuduh mempunyai hak sama ada untuk mengaku bersalah atau tidak mengaku bersalah serta memohon supaya kes dibicarakan.
Walau bagaimanapun, pemilik kenderaan yang terlibat masih mempunyai hak untuk memfailkan tuntutan sivil terhadap pemilik atau pemandu treler bagi menuntut ganti rugi atas kerosakan kenderaan.
Dalam masa yang sama, pemilik lori treler juga berhak untuk mempertahankan diri, menjawab atau memohon agar tuntutan tersebut diketepikan mengikut peruntukan undang-undang sivil.
Isu sama ada tuntutan ganti rugi boleh dibenarkan atau sebaliknya—terutama jika kawasan tersebut telah digazetkan sebagai kawasan larangan parkir—akan diputuskan oleh Tuan Majistret setelah keseluruhan kes dibicarakan dan fakta-fakta dinilai.
Kredit: Hasif Hasan