07/09/2023
Hari ini 7 September adalah hari terakhir Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berada di bumi Sabah dan akan bergerak ke Negeri Sarawak dalam Kembara Kenali Borneo.
Banyak kenangan manis gembira sehingga menitis air mata. Ada kenangan yang gelak tawa sampai tidak ingat dunia.
Percayalah dialek-dialek spontan seperti Pakcik Agong, Beta mahu selfie dengan Tuanku, Daulat Tuhanku, Panggil Tengku... Bang selfi, Datin.. Datin salam Datin, Alhamdulillah Assalamuaaikum Agong dan banyak lagi dialek-dialek yang mencuit hati anda semua.
Ayat-ayat inilah kamu pasti ingat dan gelak tawa bersama nanti jika teringat. Jadikan kenangan, jangan jadikan perbalahan pulak ya. Sebab ini kenangan spontankan.
Sebenarnya dialek ini tercipta kebanyakannya di daerah Tawau. Sebab apa?
Sebab YDPA turun di Tawau dulu. Lagi satu, mungkin terlepas pandang pihak-pihak tertentu untuk buat satu video contoh atau iklan.
Seperti apa panggilan hormat DYMM. Contoh paling ringkas, panggil dengan nama Tuanku.
Selepas dialek ini viral, tiada sudah terjadi selepas itu. Rakyat Sabah sudah faham panggilan hormat Duli Yang Maha Mulia Tuanku.
Rasanya ini program pertama Istana yang mendekati rakyat Sabah. Betulkan saya jika tersilap.
Program santai pertama dekati rakyat Sabah lebih dekat. Kelilingi negeri Sabah bertemu rakyat jelata.
Adapun program rasmi DYMM sudah tentu penduduk pendalaman dan kawasan luar bandar tidak dapat hadir untuk melihat wajah Tuanku dan Permaisuri lebih dekat.
Jikalau di Semenanjung mungkin lebih mudah jumpa DYMM. Kalau mahu jumpa Yang di-Pertuan Agong, boleh hadir ke Masjid Negara dan Masjid Putrajaya yang Tuanku selalu bersolat jumaat.
Ataupun hadir Majlis-majlis Rasmi seperti Sambutan Hari Kemerdekaan dan sebagainya.
Di Sabah lain ceritanya, lebih kurang 1625 km dari Kuala Lumpur ke Sabah. Perlu menaiki pesawat melintasi Laut China Selatan jauhnya dari Istana Negara.
Jadi kami rakyat Sabah memang menantikan program-program Istana sebegini. Agar dapat mendekati rakyat Sabah.
Rakyat Sabah dapat mengenali lebih dekat DYMM, beramah mesra, ambil gambar, luah perasaan apa rakyat Sabah alami dan inginkan.
Sebab Yang di-Pertuan Agong adalah Ketua Negara. Sudah tentu sepanjang perjalanan ke Sabah ini banyak isu-isu rakyat diluahkan dengan DYMM sendiri.
YDPA akan salurkan maklumat kepada Perdana Menteri dan Ketua Menteri tentang isu-isu yang perlu diselesaikan segera di Sabah, terutamanya isu utama jalan raya, air dan elektrik.
Akhir kata, terima kasih kepada Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah kerana sudi berkunjung ke negeri Sabah.
Ampun beribu-ribu ampun Tuanku, jika kami rakyat Sabah ada tersalah kata, tersalah bicara, dengan rendah diri kami memohon maaf Tuanku.
Sesungguhnya kami insan yang lemah tidak lari membuat kesilapan.
Segala kenangan terindah ini, kami potretkan di dinding rumah kami, di laman sosial, di hati dan jiwa kami sampai akhir hayat.
Daulat Tuanku.