06/03/2022
BAHAYA GULA FRUKTOSA
Menurut Dr Hafiz, dalam kajian terbaharu mengenai fruktosa turut menyebut asid urik yang ada di dalamnya. Ia berlaku disebabkan makanan yang diproses ini mengandungi gula tambahan secara berlebihan untuk membuatkan minuman dan makanan boleh bertahan lama untuk berada di pasaran.
"Kebanyakan jus buah-buahan yang labelnya tidak menyatakan ia adalah jus buah asli biasanya menggunakan gula berperisa tiruan. Contohnya perisa oren yang memberikan rasa seperti oren atau perisa jambu dan epal. Ini bagi memastikan minuman tahan lebih lama.
"Inilah sebabnya saya menyarankan mereka yang sering mengambil minuman berperisa buah-buahan supaya mengurangkannya kerana ia boleh mendatangkan kesan kepada tubuh sekiranya diambil secara berlebihan,” katanya.
Kesan kepada kanak-kanak lebih ketara. Minuman manis boleh menyebabkan kanak-kanak yang menjadi penggemar minuman ‘segera’ ini ketagih dan mudah mengamuk apabila tidak memperolehnya.
Menurut Pertubuhan Jantung Amerika Syarikat, kanak-kanak di bawah usia dua tahun tidak sepatutnya dibenarkan mengambil gula tambahan fruktosa manakala mereka yang berusia dua hingga 18 tahun hanya dibenarkan mengambil kurang daripada 25 gram atau tidak lebih lima lima sudu teh sehari.
“Makanan manis akan menyebabkan ketagihan dan individu terutama kanak-kanak memerlukan jumlah gula yang banyak bagi menghilangkan ketagihan mereka," katanya.