11/05/2026
SELAMAT HARI ULANG TAHUN KD RAJAWALI
Lumut, 11 Mei 26 - Hari ini merupakan detik bersejarah buat seluruh warga KD RAJAWALI dalam memperingati ulang tahun penubuhannya yang penuh dengan legasi kecemerlangan dan pengorbanan. Sejak awal penubuhannya, KD RAJAWALI telah memainkan peranan penting sebagai tonggak kepada keupayaan udara Tentera Laut Diraja Malaysia.
Sejarah penubuhan KD RAJAWALI bermula dengan penubuhan Unit Udara TLDM (UUT) yang diilhamkan oleh Laksamana Madya Tan Sri Abdul Wahab bin Haji Nawi ketika beliau menjawat jawatan Panglima Tentera Laut. Pembangunan unit ini bermula pada tahun 1985 dengan penghantaran kump**an pertama juruterbang TLDM untuk menjalani latihan penerbangan di TUDM Kluang. Hasilnya, seramai sembilan orang juruterbang berjaya dianugerahkan sayap penerbangan pada Jun 1986.
Pada tahun 1987, TLDM telah memperoleh enam buah helikopter jenis Westland WASP Helicopter Anti Submarine (HAS) Mk 1 daripada Tentera Laut Diraja British, sekali gus memulakan operasi udara secara rasmi. Penubuhan Skuadron 499 pada April 1988 menjadi titik penting dalam memperkukuhkan keupayaan operasi udara TLDM.
Kemuncak kepada perkembangan ini adalah pada 11 Mei 1990 apabila Unit Udara TLDM ditauliahkan secara rasmi dan diberi nama KD RAJAWALI, mengambil sempena nama burung Rajawali yang melambangkan kekuatan, ketangkasan dan keunggulan.
Sejak itu, KD RAJAWALI terus berkembang sebagai sebuah stesen udara yang menyokong operasi penerbangan TLDM, melaksanakan pelbagai misi termasuk operasi maritim, latihan bersama, serta bantuan kemanusiaan. Kejayaan dan pencapaian yang dikecapi hari ini adalah hasil dedikasi, disiplin dan semangat juang tinggi seluruh warga yang berkhidmat tanpa mengenal penat lelah.
Semoga ulang tahun ini menjadi pemangkin untuk terus memperkukuh keupayaan, mempertingkat profesionalisme serta mengekalkan kecemerlangan dalam setiap penugasan yang diamanahkan.
Tentera Laut Diraja Malaysia
Markas Pemerintahan Armada Barat
Markas Udara
501 Squadron
502 SQUADRON