21/12/2018
💁Kesan positif pengambilan astaxanthin terhadap kanser dan penyakit kardiovaskular
Dr Meor Mohd Redzuan Meor Mohd Affandi
Jabatan Farmaseutik, Fakulti Farmasi, Universiti Teknologi MARA
♦Kanser merupakan penyakit yang berpunca daripada pertumbuhan sel yang tidak normal di dalam badan. Biasanya, sel-sel akan membahagi, membesar dan seterusnya menjadi tua, rosak dan mati. Walau bagaimanapun, proses ini boleh terjejas apabila sel-sel yang lama atau rosak terus hidup walaupun ia sepatutnya mati manakala sel-sel baru terbahagi walaupun mereka masih belum diperlukan. Sel ini boleh membentuk ketumbuhan yang dipanggil “Tumor”. Tumor yang merebak ke tisu yang berlainan dalam badan dipanggil Tumor malignan dan ianya berkait rapat dengan penyakit kanser. Kanser boleh membawa maut jika tidak dirawat pada peringkat awal. Namun, para pengamal perubatan mengesyorkan bahawa adalah lebih baik untuk mencegah penyakit ini daripada mengubatinya. Astaxanthin berpotensi digunakan untuk mencegah dan merawat penyakit kanser.
♦Kajian saintifik terhadap sel kanser haiwan merumuskan bahawa Astaxanthin mampu menghalang pertumbuhan sel tumor. Penghalangan pertumbuhan ini melibatkan pengawalan “growth factor” dan “adhesion protein” seperti cyclin D1, proliferating cell nuclear antigen (PCNA) dan lain-lain. Kajian ke atas sel-sel CBRH-7919 (hepatoma manusia), SHZ-88 (payudara tikus) dan Lewis (paru-paru tikus) menunjukkan bahawa terdapat kesan penghalangan pertumbuhan tumor yang jelas berlaku selepas 24 jam sel dibekalkan dengan astaxanthin. Selain itu, astaxanthin bersifat selektif dimana ia menghalang pertumbuhan sel-sel tumor tanpa menghalang pertumbuhan sel-sel badan sihat yang lain.
♦Astaxanthin juga mampu menghalang pertumbuhan sel tumor dengan mengaktifkan apoptosis atau kematian sel secara terprogram. Kematian sel-sel ini menyebabkan penurunan beban sel tumor badan sekaligus meningkatkan purata jangka hayat seseorang itu. Astaxanthin melakukan semua ini dengan mengubahsuai struktur dalam sel seperti mengubah suai mitokondrion seperti B-cell lymphoma 2 (Bcl-2) dan Bcl-2-associated X protein (Bax). Pengubahsuain mitokondrion ini dilakukan dengan tidak menggalakkan penghasilan protein anti-apoptosis (apoptotic Bcl-2 dan p-Bcl-2-associated death promoter) dan mendorong penghasilan protein yang pro-apoptosis seperti Bax dan Bad Bax ,Bad, Smac/Diablo, cytochrome C dan lain-lain.
♦Tekanan oksidatif merupakan faktor yang menyumbang kepada penularan kanser melalui kehadiran radikel bebas. Astaxanthin sebagai agen anti-pengoksidaan yang kuat mampu menghalang pertambahan bilangan radikel bebas dalam badan. Dalam pada itu, pengawalan penghasilan bahan-bahan pro-keradangan interleukin-6 (IL-6), interleukin-1 (IL-1), tumor necrosis factor-α (TNF-α) oleh astaxanthin mampu mengawal penghasilan bahan-bahan pro-keradangan ini sekaligus mencegah kanser yang berpunca daripada keradangan.
♦Astaxanthin juga mampu menghalang pertumbuhan sel kanser dengan menghalang migrasi sel-sel tumor ke bahagian tubuh badan yang lain. Ini dilakukan melalui penghalangan enzim matrix metalloproteinases (MMPs) yang mendorong migrasi sel tumor yang banyak dihasilkan oleh sel-sel tumor. Perencatan penghasilan enzim ini dapat menghalang sel tumor daripada merebak. Sementara itu, astaxanthin juga mendorong penghasilan tissue inhibitor metalloproteinases (TIMPs) yang juga berfungsi merencatkan penghasilan MMPs sekaligus bertindak bersama-sama dengan astaxanthin dalam pencegahan penyakit kanser. Astaxanthin juga mampu memastikan protein connexin berada dalam kepekatan yang optimum di permukaan sel. Kekurangan protein ini dikaitkan dengan penyakit kanser, Oleh itu, penggalakan penghasilan protein ini dapat meminimakan risiko untuk seseorang itu mendapat penyakit kanser.
♦Penyakit kardiovaskular (CVD) adalah satu istilah am yang biasa digunakan untuk penyakit berkaitan dengan kesihatan jantung atau peredaran darah. Akibat daripada definisi yang umum ini, banyak penyakit boleh diklasifikasikan di dalamnya seperti penyakit jantung koronari, angina, serangan jantung, penyakit jantung congenital, strok dan lain-lain. Biasanya, kesemua penyakit yang disenaraikan di atas berkait rapat dengan aterosklerosis, iaitu keadaan dimana adanya pemendapan plak bahan lemak pada dinding dalaman salur darah (ateroma). Pemendapan ini menyebabkan salur darah menjadi sempit yang seterusnya menyebabkan bilangan darah yang kaya dengan oksigen yang dapat sampai ke jantung tidak mencukupi sekaligus menyebabkan angina atau kesakitan di dada berlaku. Ateroma yang terbentuk juga boleh pecah dan menyebabkan pembentukan darah beku. Jika darah beku ini tersekat di mana-mana bahagian salur darah ia akan menghalang aliran darah secara total di arteri pulmonari. Kejadian ini menyebabkan tiada darah yang kaya dengan oksigen dapat sampai ke otot jantung dan boleh menyebabkan serangan jantung dan sekiranya ia menyekat aliran darah ke sel otak, strok boleh berlaku. Penyakit ini biasanya dikaitkan dengan gaya hidup tidak sihat. Oleh yang demikian, pencegahan pada peringkat awal sangat mustahak.
♦Astaxanthin merupakan tonik yang sangat baik untuk jantung. Ia mempunyai pelbagai ciri yang boleh membantu dalam pencegahan penyakit jantung dan juga membantu mengurangkan risiko serangan jantung atau strok. Kuasa antipengoksidaan dan keupayaannya untuk mengurangkan keradangan merupakan dua manfaat yang jelas baik untuk penyakit kardiovaskular. Terdapat beberapa manfaat yang telah ditunjukkan dalam ujian klinikal manusia dan kajian haiwan pra-klinikal.
♦Kajian awal menunjukkan astaxanthin meningkatkan lipoprotein ketumpatan tinggi (HDL atau kolesterol sihat) dalam darah. Ia dipanggil sebagai kolestrol sihat kerana bilangan HDL yang tinggi dalam badan adalah petanda adanya perlindungan dari aterosklerosis. Kajian berikutnya membuktikan bahawa astaxanthin juga menstabilkan ateroma sekaligus mengelakkan berlakunya pembekuan darah yang boleh menyumbang pada strok. Penyelidikan terbaru membuktikan astaxanthin semulajadi juga mampu menurunkan lipoprotein ketumpatan rendah (LDL atau kolesterol tidak sihat) dan trigliserida. LDL dianggap sebagai kolestrol tidak sihat kerana pengoksidaan LDL dikaitkan dengan pembentukan aterosklerosis. Penurunan LDL ini dapat dilakukan dengan pemanjangan masa pengoksidaan oleh astaxanthin dan setrusnya menghalang pengoksidaan LDL berlaku. Pengoksidaan LDL dikaitkan dengan pembentukan aterosklerosis manakala Penurunan LDL dan peningkatan HDL menyumbang dalam pengurangan aterosklerosis dalam badan. Di samping itu, astaxanthin juga dikaitkan dengan peningkatan adinopectin, sejenis bahan yang meningkatkan HDL dan mengurangkan LDL serta trigeliserida.
♦Penyelidikan untuk melihat hubungan antara pemakanan astaxanthin dan juga kesannya pada tekanan darah tinggi dan serangan strok mendapati bahawa tikus yang menghidapi tekanan darah tinggi kronik mengalami penurunan tekanan darah serta berjaya melambatkan serangan strok apabila diberikan astaxanthin dalam pemakananya selama 5 minggu. Fenomena ini membuktikan bahawa astaxanthin mampu mengawal pelepasan nitrik oksida yang penting dalam pengawalan darah tinggi dalam badan. Kajian susulan juga membuktikan bahawa astaxanthin mampu melawan kesan pelbagai bahan yang merangsang pengecutan salur darah yang seterusnya menurunkan penyakit darah tinggi penghidapnya. Ujian klinikal terhadap manusia yang berkaitan dengan kemampuan astaxanthin sebagai agen anti-hipertensi merumuskan bahawa, terdapat penurunan yang ketara dalam tekanan darah peserta ujian selepas diberikan 6mg astaxanthin selama 10 hari.
♦Penyelidikan saintifik juga mendapati bahawa astaxanthin mampu mengelakkan kecederaan pada otot skeletal dan otot jantung akibat daripada senaman. Ini dapat dilihat apabila tikus yang diberikan astaxanthin mengalami kecederaan otot skeletal dan jantung yang minima berbanding dengan tikus yang tidak diberikan astaxanthin. Astaxanthin juga dikatakan mampu mengurangkan kawasan infarksi dan kecederaan berpunca daripada serangan jantung.
Justeru, pengambilan astaxanthin terhadap kanser dan penyakit kardiovaskular memberikan kesan yang postif seterusnya dapat mengelak dan membendung daripada penyakit-penyakit yang merbahaya.