06/12/2021
HANYA GPS MAMPU BAWA PERUBAHAN PADA NEGERI SARAWAK, MANDAT RAKYAT DIPERLUKAN UNTUK TERUSKAN PEMBANGUNAN DI SARAWAK
Penubuhan Gabungan Parti Sarawak (GPS) dilihat tepat pada masanya dalam meneruskan pembangunan dan kesinambungan perjuangan legasi Adenan yang lebih dikenali sebagai Tok Nan. Pengerusi GPS, Datuk Patinggi Abang Johari Abang Openg berkata, selepas pemergian Tok Nan, beliau berikrar meneruskan legasi perjuangannya untuk menuntut semua hak Sarawak yang sudah terhakis.
Sehubungan itu, usaha kerajaan GPS dalam memastikan pembangunan yang berterusan harus disokong kerana pelaksanaan yang berjaya akan membawa lebih banyak manfaat kepada rakyat. Mengambil contoh sepanjang 3 tahun GPS mentadbir Sarawak, pelbagai pembangunan dan kemajuan yang dilaksanakan antaranya menaik taraf infrastruktur jalan raya yang melibatkan kawasan pembinaan Jalan Utama Kedua, Jalan Raya Pesisir Pantai dan 11 jambatan dengan anggaran keseluruhan kos RM1 bilion. Program pembangunan infrastruktur yang melibatkan kawasan pedalaman juga dilaksanakan antaranya kawasan Hulu Rajang di bawah URDA, kawasan tanah tinggi iaitu HDA dan kawasan utara iaitu NRDA yang kesemuanya diletakkan di bawah bidang kuasa RECODA dengan peruntukan sebanyak RM4.5 bilion.
Selain itu, kerajaan Sarawak juga telah menubuhkan sebuah pusat penyelidikan penyakit-penyakit tropika (SIDC) di Kota Samarahan dengan peruntukan RM200 juta. Ia merupakan suatu langkah jangka masa panjang berdasarkan penyelidikan dan pembangunan yang juga harus diberi perhatian supaya ekonomi negeri Sarawak akan lebih maju di masa hadapan.
Kerajaan Sarawak melalui Sarawak Energy Berhad juga menjalankan penyelidikan untuk menghasil gas hidrogen yang berpotensi untuk menjadi bahan bakar pada masa hadapan. Dengan sumber asas yang ada, kerajaan yakin Sarawak mampu membina ekonomi yang berasaskan pengeluaran dan penggunaan gas hydrogen demi manfaat ekonomi dan seluruh rakyat Sarawak.
Jelas sekali segala pembangunan dan transformasi ini menunjukkan komitmen tinggi di bawah kepimpinan Ketua Menteri, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg dalam membawa kemakmuran dan pembangunan di seluruh negeri Sarawak khususnya di kawasan luar bandar. Justeru, GPS akan terus menjadi benteng pertahanan melindungi hak dan hasil bumi Sarawak dan wadah perjuangan terbaik kepada Sarawak kerana bukan sahaja menekankan pembangunan di bandar tetapi di luar bandar meliputi kawasan pedalaman.
Oleh itu, adalah penting seluruh rakyat Sarawak memberi sokongan padu dan mengundi GPS pada PRN Sarawak nanti. Kini, GPS yang dilihat lebih gah daripada parti-parti lain di Sarawak dalam melaksanakan pembangunan yang memberi manfaat kepada rakyat demi memastikan kemakmuran dan kesejahteraan rakyat dan negeri Sarawak terus terjamin.