03/10/2025
BARISAN NASIONAL BERDIRI TEGUH BERSOLIDARITI BERSAMA
SUKARELAWAN GLOBAL SUMUD FLOTILLA
Barisan Nasional (BN) menyelar sekeras-kerasnya tindakan zalim dan tidak berperikemanusiaan
rejim Zionis Israel yang menahan sukarelawan misi Global Sumud Flotilla (GSF), termasuk rakyat
Malaysia dan sukarelawan antarabangsa lain, yang membawa mesej keamanan serta bantuan
kemanusiaan ke Gaza.
Misi Flotilla ini adalah satu usaha kemanusiaan yang sah di sisi undang-undang antarabangsa,
dengan tujuan membawa bantuan, sokongan moral, dan solidariti kepada rakyat Palestin yang terus
dizalimi serta dikepung secara tidak adil di Gaza. Tindakan tentera Zionis menahan sukarelawan ini
jelas melanggar prinsip hak asasi manusia, undang-undang maritim antarabangsa, serta norma
kemanusiaan sejagat. BN dengan tegas ingin menyatakan perkara-perkara berikut iaitu :
1. Barisan Nasional menyokong sepenuhnya usaha dan tindakan Kerajaan Malaysia untuk
segera mengambil apa sahaja tindakan yang lebih tegas, termasuk menggunakan saluran
antarabangsa bagi memastikan pembebasan segera semua rakyat Malaysia yang ditahan;
2. Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan komuniti antarabangsa ztidak terus berdiam
diri, sebaliknya mengambil langkah segera mendesak Israel membebaskan semua
sukarelawan yang ditahan tanpa syarat; dan
3. Negara-negara sahabat, khususnya dalam kalangan OIC, ASEAN, dan blok Non-Aligned
Movement (NAM) untuk menyuarakan solidariti serta menggerakkan tekanan politik dan
diplomatik terhadap rejim Zionis.
Barisan Nasional menegaskan bahawa semangat solidariti kemanusiaan tidak boleh dipatahkan
oleh penindasan dan kekerasan. Apa yang dilakukan oleh para sukarelawan Global Sumud Flotilla
adalah manifestasi keberanian, keinsanan, dan keadilan sejagat yang sepatutnya dihormati, bukan
ditekan.
BN meminta semua rakyat Malaysia agar kita bersatu hati dan sama-sama mendoakan
keselamatan dan kesejahteraan semua sukarelawan yang terlibat untuk dibebaskan segera. BN
juga akan terus berdiri teguh bersama rakyat Palestin serta semua sukarelawan kemanusiaan yang
berjuang demi kebebasan dan hak mutlak milik rakyat Palestin dan Gaza.
Dr.Zambry Abd Kadir
2 Oktober 2025