30/09/2026
Creative Weekend Penang 2026 Tonjol Potensi Ekonomi Kreatif Seberang Perai
SEBERANG PERAI, 3 Oktober 2026: Kira-kira 300 penggiat seni, pengamal industri kreatif, usahawan serta komuniti setempat dijangka menyertai Creative Weekend Penang 2026, yang berlangsung selama dua hari pada 3 dan 4 Oktober 2026, dari jam 5 petang hingga 11 malam di Straits City Concept Centre, Crowne Plaza Hotel Seberang Perai. Straits City
Dianjurkan oleh Joe Sidek Productions, program berkenaan merupakan sebahagian daripada inisiatif Levelling Up Seberang Perai oleh Think City yang memberi tumpuan kepada usaha memperkasa potensi ekonomi, kreativiti dan pembangunan komuniti di Seberang Perai.
Sepanjang dua hari penganjuran, Creative Weekend Penang 2026 akan mengetengahkan pelbagai pengisian termasuk persembahan seni, bengkel kreatif, pameran, aktiviti interaktif, sesi perkongsian serta peluang keusahawanan, sekali gus menyediakan ruang untuk penggiat industri dan komuniti bertukar idea, membina jaringan serta meneroka peluang baharu.
Antara tokoh kreatif yang bakal berkongsi pengalaman dan perspektif mereka ialah Red Hong Yi, Vanizha Vasanthanathan, Irwan Junaidy dan Terrence Conran. Penglibatan mereka dijangka membuka ruang kepada bakat tempatan untuk mendapatkan inspirasi, memperluas jaringan profesional serta meneroka potensi pasaran di peringkat serantau dan antarabangsa.
Exco Pelancongan dan Ekonomi Kreatif, Wong Hon Wai, berkata penganjuran program di Seberang Perai mencerminkan usaha untuk memperluaskan ekosistem ekonomi kreatif dan potensi pelancongan Pulau Pinang ke bahagian tanah besar.
Menurut beliau, Seberang Perai mempunyai kekuatan tersendiri dari segi seni, budaya, sejarah, warisan, komuniti dan landskap, yang boleh diketengahkan sebagai sebahagian daripada pengalaman pelancongan yang lebih menyeluruh.
Usaha turut digerakkan bagi menghubungkan pengalaman pelancongan, warisan dan sejarah di wilayah utara menerusi cadangan pembangunan pakej pelancongan yang menghubungkan lokasi-lokasi bersejarah dan arkeologi seperti Guar Kepah, Lembah Bujang dan Warisan Arkeologi Lembah Lenggong.
Penganjuran Weekend Penang 2026 bukan sahaja menjadi platform meraikan kreativiti, malah membuka ruang kepada komuniti, penggiat seni dan usahawan untuk berkolaborasi, berkongsi idea dan meneroka peluang ekonomi baharu, sekali gus memperkukuh kedudukan Seberang Perai sebagai salah satu destinasi yang mempunyai potensi besar dalam pembangunan ekonomi kreatif dan pelancongan berasaskan komuniti.